Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KM Sabah kata rundingan dengan tentera asing selesai

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan cerita yang disiarkan di laman sosial berhubung pencerobohan kumpulan bersenjata dari Filipina di Lahad Datu.

Beliau berkata rakyat tidak perlu percaya cerita oleh sumber yang tidak boleh dipercayai yang membawa kepada pelbagai pendapat dan spekulasi.

"Kerajaan telah selesai mengadakan perbincangan (dengan penceroboh) dan mereka akan dihantar pulang ke negara asal.

"Apa yang penting sekarang ialah aspek keselamatan dan mahu ia berakhir dengan aman, kita tidak mahu sebarang pertumpahan darah berlaku pada peringkat ini," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina oleh Persatuan Wartawan Kota Kinabalu di Kota Kinabalu hari ini.

Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.

Sementara itu pada majlis berasingan, Musa menyifatkan parti pembangkang sebagai 'penipu' dan berlagak umpama 'mengajar itik berenang' apabila mendakwa kerajaan BN tidak membawa apa-apa pembangunan di Sabah.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan BN membelanjakan berbilion ringgit bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat selain mengurus dan mentadbir negeri ini dengan baik.

"Pembangkang hanya pandai putar belit kononnya tidak ada apa-apa pembangunan di Sabah. Mereka (pembangkang dari Semenanjung) datang untuk mengajar kita mentadbir negeri ini.

"Bukan cakap besar, tetapi rekod prestasi kita adalah cemerlang. Tidak perlu mereka datang mengajar kita," kata Musa yang juga Pengerusi BN negeri ketika berucap pada majlis perasmian Persatuan Bangso Bajau Sama Sabaha (PBBSS) di Dewan Seri Sulaman, di Tuaran hari ini.

Turut hadir presiden PBBSS yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Hajiji Noor.

Terdahulu Hajiji dalam ucapannya mencadangkan agar sebuah bangunan Pusat Kebudayaan Bajau dibina di daerah itu.

Beliau berkata tapak untuk tujuan itu sudah dikenal pasti dan yakin dengan adanya pusat kebudayaan itu, budaya dan adat tradisi masyarakat itu dapat ditonjolkan dengan lebih meluas lagi khususnya kepada pelancong tempatan dan luar negara yang berkunjung ke negeri ini.

"Pusat kebudayaan ini juga tentunya akan menjadi mercu tanda kepada masyarakat ini di masa akan datang," katanya.

Hajiji merayu kepada masyarakat Bajau Sama supaya menyokong kerajaan BN di bawah pimpinan Musa.

"Kita mesti bangun mempertahankan kerajaan ini bersama-sama dengan pemimpin kita. Kita tiada pilihan selain BN yang telah banyak berjasa kepada rakyat termasuk masyarakat Bajau Sama," katanya.

- Bernama

ADS