Felda tayang filem Tanda Putera pada peneroka

Felda hari ini menganjurkan tayangan filem kontroversi Tanda Putera kepada kira-kira 3,000 orang peneroka tanah rancangan itu selepas satu majlis khas bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Program tayangan khas itu diumumkan oleh timbalan menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda Datuk Ahmad Maslan dalam ucapannya terdahulu, di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Beliau juga mengumumkan bahawa acara yang tidak disenaraikan dalam buku program itu diadakan untuk warga Felda atas permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Tayangan tersebut diadakan bermula jam 1 tengah hari selepas sesi ucapan pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan juga ucapan Mahathir di program 'Warga Felda Bersama Negarawan Ulung Tun Mahathir Mohamad' itu.

NONESeorang pemimpin NGO anti-Pakatan, Zahid Mat Arip yang bertindak sebagai pengerusi majlis tayangan berkenaan pula mengumumkan bahawa tayangan itu merupakan program tertutup.

Beliau juga meminta para wartawan meninggalkan Dewan Merdeka PWTC sebelum tayangan bermula.

Filem itu mengisahkan peranan bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.

NONEFilem berkenaan sehingga kini masih belum ditayangkan kepada umum walaupun telah diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem.

Ia pada asalnya dijadual untuk tayangan bermula 13 September sebelum ditunda kepada 15 November atas alasan kekurangan promosi.

Majlis tayangan berkenaan tamat sekitar jam 3 petang dengan satu bacaan doa.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.