Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Saya tunggu hingga letih hendak buat p'raya

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) belum diumumkan kerana kerajaan mahu dasar transformasi negara benar-benar terbukti berjaya dan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.

Beliau berkata idea yang kreatif, perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang berkesan adalah sangat penting dalam usaha kerajaan untuk membela rakyat dan membangunkan negara.

"Sebab itulah saya tunggu sampai kita letih hendak buat PRU, kita tunggu kerana saya hendak buktikan bahawa dasar transformasi negara benar-benar boleh berjaya," katanya ketika melancarkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral di Seremban hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Pengerusi PR1MA Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

Justeru, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak menukar kerajaan sedia ada pada PRU-13 nanti kerana kerajaan BN) sahaja yang boleh memenuhi harapan rakyat.

Ini terbukti dengan pelbagai kejayaan yang dicatat oleh negara antaranya perkembangan ekonomi yang semakin meningkat selain mencatat pertumbuhan yang pesat, katanya.

"Kita harus berbangga sebagai sebuah negara kita sudah capai banyak kejayaan, kalau Ulu Temiang akan ditukar namanya kepada Seremban Utara, tetapi kerajaan jangan tukar," katanya sambil menerima sorakan gamat daripada orang ramai.

Najib berkata hari ini, rakyat juga cukup yakin bahawa kerajaan BN bukanlah hanya pandai cakap sahaja tetapi juga yakin melakukannya untuk rakyat sepertimana gagasan 1Malaysia iaitu "Rakyat Didahulukan".

"Semalam, saya ke Terengganu, saya naik beca dan tanya pengayuh beca bagaimana kerajaan hari ini, dia kata akan sokong BN kerana PAS mengarut, hanya pandai cakap tetapi tak pandai buat," katanya.

Mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengumpamakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada rakyat seperti memberi makanan kepada haiwan, Najib berkata kenyataan sedemikian sepatutnya tidak keluar daripada seorang ulama.

"Ulama bercakap baik, sopan, beri nasihat, ini caci-maki, merendahkan martabat orang, ini bukan percakapan ulama, kita tidak sanggup dikutuk sebagai haiwan, tapi yang anehnya yang bersusun terima BR1M bukan kita sahaja, dia (pembangkang) pun terima," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus melakukan yang terbaik supaya rakyat mendapat kesejahteraan dan negara terjamin aman dan makmur.

    

Mengenai projek PR1MA Seremban Sentral, Najib berkata sebanyak 5,000 unit rumah mampu milik akan didirikan di kawasan KTM Seremban di keluasan kira-kira 73 ekar (kira-kira 30 hektar) dan dijangka siap dalam masa dua tahun setengah.

"Seremban tidak lama lagi akan moden, cuba bayangkan Seremban Sentral macam Sentral di Kuala Lumpur," katanya, sambil menambah sebanyak 6,000 unit rumah mampu milik di bawah projek PR1MA akan didirikan di Ulu Temiang atau Seremban Utara.

Beliau berkata projek itu terbuka kepada permohonan secara dalam talian atau manual kepada mereka berpendapatan di antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan dan berumur 21 tahun ke atas.

"Dasar kita mesti bersifat inklusif, tidak kira pendapatan mesti dapat manfaat daripada kerajaan Malaysia, kira-kira 20,000 orang akan dapat manfaat daripada projek ini," kata Perdana Menteri.

Projek itu juga menawarkan harga lebih rendah iaitu kurang 20 peratus daripada harga pasaran selain mempunyai kemudahan akses kepada perkhidmatan keretapi, bas serta terdapat pejabat komersil, pusat beli-belah, kesihatan dan pendidikan.

- Bernama

ADS