Pakatan mahu Parlimen bincang isu keselamatan Sabah

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar meminta agar satu sidang Parlimen khas diadakan secepat mungkin bagi membincangkan tentang isu keselamatan di Sabah.

Selain itu Mahfuz juga berkata, beliau meminta kerajaan membentangkan satu kertas putih berhubung situasi di perairan pantai timur Sabah itu.

"Saya nak minta penjelasan daripada pihak kerajaan supaya bentang peristiwa Lahad Datu ini dalam satu kertas putih dalam persidangan khas Parlimen.  

"Perkara ini menjadi persoalan rakyat macam mana penceroboh boleh bolos kawalan keselamatan. Sebab itu kita minta kerajaan perjelaskan melalui pembentangan kertas putih di Parlimen untuk ketahui keadaan ini bagaimana boleh berlaku," katanya.

Beliau mendakwa, kerajaan sehingga hari ini masih tidak memberi jawapan menyakinkan berhubung perkara itu demi menjamin keselamatan negara.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara semalam.

Sehubungan itu, Mahfuz yang juga merupakan Naib Presiden PAS berkata, beliau meminta agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil satu sidang khas Parlimen secepat mungkin bagi berbincang isu keselamatan di Sabah supaya dapat diatasi dengan segera.

"Sebab itu saya kata kertas putih perlu dibentang untuk beritahu masyarakat dan rakyat. Dan bila ada sidang khas Parlimen, inilah masanya peranan untuk memberi pendapat dan pandangan apakah penyelesaian yang boleh diambil oleh kerajaan dengan segera," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media hari ini berkata, Pakatan juga berhasrat agar Parlimen mengadakan sidang khas untuk membincangkan isu berkenaan.

Pakatan juga mahu mengadakan perbincangan meja bulat dengan kerajaan untuk mencapai persefahaman berhubung isu sama, katanya.

Tambahnya, Pakatan sedang menyediakan surat untuk memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Speaker Parlimen Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sidang media berbenaan turut dihadiri penasihat DAP Lim Kit Siang dan setiausaha agung PAS Mustafa Ali di ibu pejabat PKR hari ini.

Pada Jumaat lalu, satu pertempuran antara anggota keselamatan dan penceroboh di Lahad Datu telah berlaku sehingga mengorbankan dua orang anggota keselamatan.

Seramai 100 orang penceroboh dianggar masih terkepung di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan polis menyatakan kumpulan penceroboh juga mendarat dan menyusup ke dua buah kampung di Kunak yang terletak di antara Semporna dan Lahad Datu.

Jumlah kematian yang melibatkan anggota keselamatan kini meningkat kepada lapan orang dalam tempoh tiga hari selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam mengesahkan enam lagi lima anggota keselamatan terkorban dalam serang hendap kumpulan bersenjata di Semporna.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.