PAS Bkt Bintang cadang EGM bincang usul calon PM

PAS Bukit Bintang mencadangkan kepimpinan PAS Pusat mengadakan muktamar khas bagi membincangkan usul kawasan itu supaya mencalonkan seorang pemimpin Pakatan Rakyat sebagai perdana menteri Malaysia ke-7 sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya ke13 dan memerintah Malaysia.

Yang Dipertuanya, Mohd Radzi Hashim berkata, cadangan itu dibuat ekoran wujudnya kegelisahan akar umbi berhubung status calon perdana menteri pakatan jika gabungan itu berjaya menawan Putrajaya.

Selain itu, katanya, ia turut diperkatakan secara meluas di kedai kopi, blog, pejabat, masjid, surau dan markaz.

"Forum  yang lebih baik (untuk membincangkan perkara itu) ialah dalam muktamar agung khas," katanya ketika diminta mengulas lebih lanjut kenyataan yang dikeluarkan PAS kawasan itu berhubung cadangan tersebut.

Katanya, cadangan tersebut dibuat dalam mesyuarat khas ahli jawatankuasa kerja kawasan itu pada 5 Mac lalu dan dipersetujui 10 daripada 14 anggota jawatankuasa kerjanya.

Bagaimanapun, katanya, seorang jawatankuasa yang tidak hadir maklum dan menyokong usul tersebut.

Sementara bakinya, Mohd Radzi percaya mereka telah mengetahui usul tersebut, tetapi "tak pasti" sama ada bersetuju ataupun tidak.

Katanya, setelah mengambilkira aspirasi rakyat masa kini, beliau berkata, PAS kawasan tersebut mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon pedana menteri jika Pakatan memerintah selepas pilihan raya umum akan datang.

Ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi, Mohd Radhi berkata beliau telah menyerahkan cadangan tersebut kepada pegawai kepada setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali tengahari semalam.

"(Usul itu) sudah dihantar dan diterima oleh setiausaha kerja tengahari tadi (semalam) dan dia cakap nak bagi dekat Datuk Mustafa malam ini (tadi)," katanya dalam SMS kepada Malaysiakini.

Mohd Radzi juga menafikan pihak berbuat demikian disebabkan dipengaruhi oleh pihak tertentu.

"Tidak dipengaruhi oleh sesiapa, ianya kerana kami rasa (muktamar khas) sebagai saluran yang terbaik bagi kami di peringkat bawahan menyatakan hasrat ahli-ahli (akar umbi)," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Radzi berharap supaya Mustafa mengambil perhatian berhubung permohonan tersebut dan PAS kawasan lain sudi bersama untuk menjayakan muktamar agung khas itu.

Sebelum ini Majlis Syura Ulama PAS dilapor menafikan ada membuat perbincangan bagi menolak Anwar yang juga ketua umum PKR dari menjadi perdana menteri jika Pakatan menang pilihan raya umum itu kelak.

Pengerusinya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilapor menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu fitnah yang cuba dilemparkan terhadap PAS bagi melaga-lagakan parti tersebut dengan rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Sementara kepimpinan DAP pula dilapor menyokong Anwar yang juga ketua pembangkang menjadi perdana menteri.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.