DIGP: Polis akan panggil bapa Saiful beri keterangan

Polis akan memanggil Azlan Mohd Lazim, iaitu bapa Mohd Saiful Bukhari, dalam masa terdekat untuk mengambil keterangan berhubung kenyataannya semalam, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
    
Beliau berkata langkah itu diambil bagi mengenal pasti sebab dan tujuan Azlan membuat keterangan sedemikian.

"Dalam kes itu, Azlan tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, dan kalau adapun, keterangan yang dia bagi kepada pihak polis adalah keterangan yang tidak jelas.
    
"Jadi, keterangan itu tidak bernilai dan tidak boleh diguna pakai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'Bersatu Memerangi Jenayah' di Kuchai Lama hari ini.
    
Semalam, bapa Saiful Bukhari tampil memberi keterangan bahawa kes liwat yang melibatkan anaknya dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu 'konspirasi politik jahat' untuk memburukkan nama pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) itu.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.