Mahathir mahu orang Melayu 'selamatkan Selangor'

Selangor perlu diselamatkan daripada pembangkang bagi memastikan hak dan kedudukan orang Melayu serta bumiputera terus kekal di negeri itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pakatan pembangkang yang telah pun menguasai ekonomi di Selangor kini mempunyai keinginan yang tinggi untuk menguasai politik di negeri itu.

"Sebelum ini ketika Selangor di bawah BN kita dapat lihat pertumbuhan ekonomi begitu pesat dan orang Melayu serta bumiputera turut diberi tempat, sebab itu kita hidup lebih bahagia daripada dahulu.

"Sekiranya pembangkang menang dan tadbir Selangor percayalah kedudukan orang Melayu dan bumiputera akan diketepikan. Sebab itu kita harus bertindak segera untuk yakinkan rakyat di Selangor supaya jatuhkan kerajaan pembangkang dan gantikannya dengan kerajaan BN yang dipimpin oleh Umno.

"Akan sia-sialah pengorbanan kita kalau Selangor tidak diselamatkan," katanya ketika penutup konvoi 'Selamatkan Selangor' anjuran Perkasa Selangor di Shah Alam hari ini.

Turut hadir isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Yang Dipertua Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Yang Dipertua Perkasa Selangor Abu Bakar Yahya.

Lebih 3,000 menyertai konvoi motosikal ke USJ, Subang Jaya dan Rantau Panjang, Klang bermula pukul 10 pagi dengan membawa bendera Malaysia, Perkasa dan BN bagi menunjukkan sokongan kepada BN untuk memenangi semula Selangor.

Konvoi itu turut menziarahi pusara Allahyarham L/Kpl Mohd Azrul Tukiran di tanah perkuburan Islam Rantau Panjang dan mengadakan bacaan tahlil untuk anggota polis itu yang terkorban dalam kejadian serangan hendap kumpulan militan dari selatan Filipina di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna pada 2 Mac lepas.

Dr Mahathir berkata kelemahan dua parti dalam pakatan pembangkang pimpinan orang Melayu menyebabkan pihak lain tidak menghormati kaum itu bahkan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera hendak dihapuskan oleh mereka.

"Kita juga ingin tegaskan bahawa bahasa Melayu dan agama Islam ialah bahasa dan agama rasmi negara kita jadi mereka harus hormati hak kita sepertimana kita hormati hak mereka tetapi disebabkan kepimpinan Melayu dalam pakatan (pembangkang) amat lemah mereka sering ikut sahaja rakan mereka termasuk bila desak kalimah Allah boleh digunakan (dalam Bible) maka (Presiden PAS Datuk Seri) Abdul Hadi Awang pun tandatangan beri hak itu kepada mereka.

"Bila mereka cadang nak lucut hak istimewa orang Melayu, pembangkang yang kononnya dianggotai dua parti pimpinan Melayu sanggup ikut apa sahaja yang dituntut. Kalau kita tak berjaga-jaga kita akan hilang sama sekali hak kita di bumi kita sendiri dan segala usaha untuk bangunkan orang Melayu dan bumiputera akan dihapuskan oleh mereka (pembangkang)," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.