Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Gerakan lapor polis kejadian exco 'dikunci'

Pemuda Gerakan Kedah hari ini membuat laporan polis berhubung kejadian Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi 'dikunci' dalam kawasan sebuah sekolah agama di Bukit Besar, Yan, Sabtu lepas.

Ketuanya Tan Keng Liang berkata laporan polis itu dibuat kerana pihaknya melihat perbuatan tersebut sebagai mengancam keselamatan Phahrolrazi yang juga anggota exco kerajaan negeri Kedah.

"Kita prihatin dengan apa yang terjadi... Kita tidak mahu beliau yang mungkin juga calon pada pilihan raya umum ke-13 terancam keselamatannya," kata Teng pada sidang media selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di Alor Setar.

Beliau juga meluahkan rasa kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang turut mengaitkan insiden itu dengan BN.

Ini membabitkan masalah dalaman parti PAS dan BN langsung tiada kaitan. Laporan polis ini kerana kami melihat insiden sebagai ancaman keselamatan terhadap Phahrolrazi, katanya.

Menurut Teng, perbuatan menghalang pergerakan seseorang itu adalah salah mengikut Seksyen 339 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sebulan dan denda tidak lebih RM1,000 jika sabit kesalahan.

Katanya pihak berkenaan juga boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 340 kanun yang sama.

Akhbar sebelum ini melaporkan Phahrolrazi mendakwa beliau 'dikunci' dalam kawasan sekolah agama itu selama dua jam, bagi menghalang beliau daripada berucap di satu ceramah di Kampung Kabu, Sungai Limau, Yan, yang merupakan kawasan  Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Dakwa Phahrolrazi, beliau sebelum itu dihubungi oleh pengetua sekolah agama tersebut namun sebaik masuk ke dalam kawasan sekolah berkenaan pintu pagar dikunci.

- Bernama

ADS