8 pengganas didakwa, dua berdepan hukuman mati

Lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan ketika prosiding di hadapan Hakim P Ravinthran berlangsung dan mereka hanya dibacakan pertuduhan untuk mencatatkan sama ada memahaminya atau tidak.

NONERavinthran membuat keputusan untuk tidak merekod pengakuan setelah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai barisan pendakwaan memohon supaya perkara itu dilakukan setelah kesemua tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Pertuduhan dalam bahasa Melayu itu diterjemah ke bahasa Bajau serta Suluk oleh jurubahasa mahkamah.

Atik Hussin Abu Bakar dan Basad Manuel ialah dua individu yang dituduh atas pertuduhan melancarkan perang dan mereka turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas.

Atik Hussin didakwa melakukan dua kesalahan itu di Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu dari 9 Februari hingga 3 Mac lepas manakala Basad melakukan dua kesalahan yang sama dari 9 Februari hingga 2 Mac di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas ialah Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili dan Timhar Hadir.

NONELin dan Holland didakwa melakukan kesalahan itu Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu, dari 9 Februari hingga 3 Mac manakala Habil dan Timhar didakwa melakukan kesalahan sama di Jalan Kastam Lama, Lahad Datu dari 9 Februari hingga 4 Mac.

Dua tertuduh lagi, Kadir Uyung dan Lating Tiong didakwa cuba melindungi sekumpulan pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Tanjung Labian, Lahad Datu pada pukul 4.30 petang, 4 Mac lalu.

Semalam kelapan-lapan mereka didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan kes itu diperintah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau hari ini.

NONEBagi kesalahan memerangi Yang di-Pertuan Agong, Atik dan Basad didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup dan denda.

Manakala bagi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130KA kanun yang sama. Kadir dan Lating pula didakwa mengikut Seksyen 130K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu (menganggotai dan melindungi pengganas) membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Sepanjang prosiding, keadaan mahkamah dikawal ketat oleh polis dan tujuh daripada pengganas dipakaikan 'straight jacket' (seperti dipakai pesakit mental) berwarna putih.

lahad datu 050313 soldier with gun 02Kelapan-lapan mereka dipercayai berusia antara 17 hingga 66 tahun dan diletakkan di bahagian kerusi hadapan mahkamah.

Ketika dibacakan pertuduhan, Hakim Ravinthran meminta jurubahasa menjelaskan mengenai pertuduhan dan memberi kebenaran untuk setiap tertuduh menyatakan sesuatu berhubung prosiding yang berlangsung.

Terdahulu Abdul Gani memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi Persatuan Peguam Sabah untuk berbincang mengenai perlantikan peguam tertuduh.

"Pihak pendakwaan juga akan menghubungi kedutaan Filipina atas semangat Asean berhubung perkara ini dan sekiranya tiada peguam yang tampil, pihak mahkamah boleh melantik peguam untuk membela mereka," katanya.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 12 April untuk sebutan kes.

Turut membantu Abdul Gani ialah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan dan Dusuki Mokhtar.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.