PKR tanya Najib, penceroboh Lahad Datu ada IC biru?

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan jumlah warga Filipina dalam kejadian pencerobohan Sabah yang merupakan pemegang kad pengenalan Malaysia.

Beliau menuntut penjelasan itu susulan dakwaan yang timbul semalam bahawa Agbimudin @ Azzimudie Kiram merupakan warga Malaysia dan pernah bertugas sebagai pembantu pengawai daerah di Kudat, Sabah.

NONE"(Dakwaan) oleh jurucakap kumpulan (berkenaan)... bahawa Agbimudin pernah menjadi pegawai kerajaan di negeri Sabah terus menimbulkan persoalan mengenai latar belakang sebenar konflik pencerobohan di Lahad Datu," kata Rafizi.

"Apakah Agbimudin Kiram adalah rakyat Malaysia yang telah diberikan kad pengenalan biru?

"Berapa ramai dari kalangan penceroboh bersenjata yang mempunyai kad pengenalan biru?," soalnya yang turut bertanya sekiranya kad pengenalan berkenaan dikeluarkan melalui 'Projek IC'.

Rafizi merujuk kepada satu tulisan yang disiarkan portal berita Filipina, InterAksyson yang memetik kenyataan seorang jurucakap kesultanan Sulu, bahawa Azzimudie pernah berkhidmat sebagai pegawai daerah di Kudat.

Abraham Idjirani mendakwa walau Azzimudie pernah berkhidmat di Kudat, beliau masih merupakan warga Filipina dan tidak pernah diberikan taraf kerakyatan Malaysia.

"Mereka (Azzimudie) kata, 'beri kami kad pengenalan', namun pihak berkuasa Sabah beritahu mereka, 'walaupun kami tidak berikan, anda tetap miliki Sabah," kata Idjirani seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Rafizi ketika dihubungi hari ini bagaimanapun tidak berganjak daripada dakwaannya, bahawa Azzimudie pernah memegang taraf kerakyatan Malaysia, dan mendakwa ia berdasarkan maklumat yang diperolehi parti itu dari penduduk tempatan dan penduduk kampung Sabah yang mengetahui mengenai tempoh perkhdmatan Azzimudie sebagai pembantu pegawai daerah.

"Berdasarkan maklumat inilah kami kemudiannya menjalankan semakan dalam perkhidmatan awam Sabah dan menemui namanya disenaraikan di situ.

"Ramai di kalangan rakyat Filipina yang datang ke sini pada waktu itu memegang dua kerakyatan. Bila mereka di sini, mereka rakyat Malaysia, bila mereka berada di Filipina, mereka rakyat Filipina," katanya kepada Malaysiakini.

Rafizi membuat dakwaan mengenai tempoh perkhidmatan Azzimudie dalam perhidmatan awam Malaysia ketika bercakap dalam satu sidang media semalam, di mana beliau turut menunjukkan dokumen berhubung dakwaan mengenai seorang lelaki bernama Datu Agbimudin Kiram.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.