Khoo: FAM dianggap berdosa pada rakyat Malaysia

Keghairahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus menghukum individu yang melanggar peraturan Artikel 88 menyebabkan FAM lupa fungsi sebenarnya sebagai badan induk bola sepak negara, kata pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Justeru, beliau menasihati pengurusan dan pentadbiran FAM agar berhenti berlagak seperti 'polis dengan menangkap dan menghukum pesalah', sebaliknya perlu segera kembali kepada objektif asal penubuhannya untuk mentadbir dan membangunkan bola sepak Malaysia.

NONE"FAM dianggap berdosa kepada seluruh rakyat Malaysia selagi mereka gagal melaksana tanggungjawab mengembalikan semula era kegemilangan skuad Harimau Malaya seperti pada awal 50-an dan 60-an.

"Jika tidak mampu membawa pasukan kebangsaan mara ke Piala Dunia, setidak-tidaknya FAM perlu berusaha membawa pasukan negara layak ke Sukan Olimpik dan bukannya undur belakang," katanya kepada Bernama hari ini.

Khoo turut mempersoal prestasi skuad Harimau Malaya kini, yang gagal layak ke Sukan Olimpik seperti yang dilakukan ketika edisi 1972 di Munich, Jerman dan Moscow, Russia pada 1980 sedangkan Malaysia mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik berbanding dahulu.

Beliau berkata tindakan FAM yang terlalu banyak membuang masa kepada perkara tidak penting serta tersasar daripada matlamat asalnya sewaktu ditubuhkan pada 1933, hanya merugikan pembangunan bola sepak negara.

NONE"Saya bimbang melihat prestasi tidak menentu pasukan kebangsaan sejak kebelakangan ini. FAM perlu melakukan perubahan sebelum terlambat. Saya khuatir peminat akan beralih kepada sukan lain seperti hoki dan bola sepak bukan lagi sukan nombor satu rakyat Malaysia," katanya.

Mengenai tindakan yang mungkin dikenakan terhadap ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal, di bawah Artikel 88 FAM, Khoo berkata jika FAM tidak suka dengan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu, adalah lebih baik beliau tidak ditawarkan jawatan tersebut sejak dari awal.

"Daripada menjatuhkan hukuman lebih baik sekiranya FAM mencari jurulatih lain yang tidak akan mengkritiknya (FAM)," kata Khoo.

NONERajagobal bakal berdepan hukuman berat apabila mengkritik tindakan FAM yang membenarkan pemain import beraksi di Liga Malaysia menyebabkan skuad bimbingannya ketandusan penyerang sejati.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bermesyuarat semalam, memutuskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan ketua jurulatih itu menyalahi perlembagaan FAM dan beliau akan didakwa dalam tempoh terdekat.

Antara individu yang pernah menjadi 'mangsa' Artikel 88 ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang digantung enam bulan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak dan didenda sebanyak RM18,000 apabila baginda mengkritik mutu pengadilan yang disifatkan masih lemah dan bertaraf amatur.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim pula digantung dua tahun enam bulan serta denda RM39,000 apabila membuat kritikan secara terbuka terhadap FAM.

Manakala Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, digantung dua tahun setengah pada tahun lepas, kerana kesalahan mengkritik skuad negara.

Berdasarkan Artikel 88 peraturan 2010-2014 FAM, menyebut bahawa hanya presiden dan setiausaha agung yang boleh membuat kenyataan. Sekiranya ada dalam kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, perlu mendapatkan izin kongres FAM terlebih dahulu.

-Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.