Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yakin pengundi di Putrajaya akan menolak Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang akan bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Tengku Adnan, penyandang kerusi Parlimen itu, berkata beliau percaya Husam akan ditolak dua pertiga oleh pengundi di kawasan itu memandangkan beliau adalah "orang luar daripada Putrajaya".

NONE Menurut Tengku Adnan ( kiri ) lagi, rakyat akan memilih wakil rakyat "yang dikenali dan mengambil tahu keperluan mereka".

"Saya berkeyakinan Husam akan mendapat dua pertiga penolakan khusus dia datang daripada luar Putrajaya.

"Walaupun orang Putrajaya sebut saya bukan asal Putrajaya, ini tempat baru tetapi saya berada di sini (Putrajaya) dan sejak dibangunkan sejak 1990-an. Dan mereka lebih kenal," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan KAR1SMA anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan KL, di Putrajaya.

Tengku Adnan yang juga ketua Umno Putrajaya berkata Umno tidak gentar berdepan dengan Husam kerana kawasan itu didiami oleh pegawai kerajaan daripada pelbagai latar belakang dan asal-usul mereka.

"Saya yakin rakyat rasional (untuk memilih wakil rakyat)," katanya ketika ditanya sama ada sentimen kenegerian mempengaruhi pola pengundian di Putrajaya.

Faktor Kenegerian bukan isu

Menurutnya lagi, sentimen kenegerian "tidak ada kena mengena" untuk dijadikan faktor perubahan pengundi di kawasan itu.

"Kita rakyat Malaysia. Sentimen kenegerian tidak ada kena mengena. Dia rakyat negeri Kelantan ke, Johor ke, Selangor ke, dia tak ada kena mengena," katanya.

NONE Sesetengah pihak berpendapat, tindakan Husam yang juga exco kanan Kelantan berpindah tempat ekoran ramai rakyat kelahiran negeri itu kini mengundi di Putrajaya.

Sambil mengulangi dengan 'mengalu-alukan' Husam yang juga exco Kelantan bertanding di Putrajaya, Tengku Adnan berkata Umno dan parti komponen BN yakin mereka akan mempertahankan kerusi Putrajaya.

Bahkan, katanya selama ini, BN telah melakukan gerak kerja dan program sejak dahulu lagi.

"Selama ini rakyat mengetahui apa program dan kerja yang dilakukan oleh wakil rakyat sejak 2004 hingga sekarang.

"Mereka tahu wakil rakyat yang melaksanakan amanah dan tanggungjawab untuk rakyat," katanya yang juga setiausaha BN.

Umno mempunyai lebih 43 cawangan di Putrajaya dan parti komponen MCA, MIC dan Gerakan juga mempunyai cawangannya di kawasan tersebut.

Dalam pilihan raya umum lalu, Tengku Adnan mengalahkan calon PAS Mohammad Nor Mohamad dengan majoriti 2,734 undi di kerusi 95 peratus pengundi Melayu itu.

ADS