'Orang Melayu akan balas dendam jika dikhianati'

       

Bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menyeru golongan Melayu agar bertindak dengan lebih agresif untuk mempertahankan hak mereka serta menyusun semula masyarakat, ekoran keputusan pilihan raya umum 5 Mei.

Bercakap dalam seminar yang membincangkan mengenai kesan pilihan raya tersebut hari ini, Mohd Noor menyeru demikian kerana orang Cina didakwanya mengkhianati ikatan setia kawan orang Melayu itu melalui usaha untuk merampas kuasa politik.

"Pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu itu adalah benar oleh kerana mereka merancang untuk merampas kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi," katanya, mengulas keputusan pilihan raya tersebut.

Dakwaan mengenai pengkhianatan orang Cina itu mula timbul apabila keputusan pilihan raya umum 5 Mei menunjukkan BN hanya mampu menguasai 133 kerusi parlimen, berbanding 140 dalam pilihan raya umum 5 Mei.

Bagaimanapun, Umno yang banyak bertanding di kerusi majoriti Melayu berjaya memperolehi sembilan lagi kerusi, berbanding hanya 79 kerusi pada 2008, walau parti BN yang bertanding di kerusi majoriti Cina – MCA dan Gerakan – kalah teruk dalam pilihan raya kali ini,

Di sisi Pakatan Rakyat pula, ramai calon Melayu menang di kerusi campuran, malah turut menewaskan calon pencabar dari kaum Cina.

Dalam ucapan selanjutnya, Mohd Noor mempertegaskan amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati.

"...Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah," katanya.

Beliau turut menganjurkan agar penyusunan masyarakat itu turut melibatkan pewartaaan kawasan rizab Melayu di kawasan bandar bagi membolehkan kaum Melayu membangun dan menguruskan perniagaan bersama kaum Cina.

“Perlembagaan menyatakan tanah rizab Melayu dah diisytihar selepas merdeka kekal sampai bila-bila. Lepas merdeka, menteri besar dan exco boleh isytiharkan kawasan-kawasan Melayu dan beri jaminan perlembagaan apa kita boleh buat.

“Tanah rizab hendaklah diisytihar di kawasan bandar supaya orang Melayu boleh berniaga di kawasan bandar yang sebelum ini dimiliki oleh orang Cina.

"Istilah cantiknya ialah menyusun semula masyarakat. Tapi istilah kasar ialah (membolehkan) orang Melayu berhijrah supaya gedung-gedung yang kita lihat dibandar sama-sama dimiliki, bukan melihat sahaja,” katanya.

Berucap dalam seminar yang dihadiri kira-kira 300 peserta itu, Mohd Noor mencadangkan agar penyusunan semula masyarakat itu dijalankan dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, walaupun setelah 56 tahun merdeka, kekayaan orang Melayu masih lagi tidak mencapai sehingga 20 peratus di negara ini.

“Sudah 56 tahun berlalu, kita masih memiliki tidak sampai 20 peratus kekayaan negara ini.

“Susunlah strategi supaya dalam masa 10 tahun ini, Yang Dipertuan Agong mengarahkan badan berkuasa untuk jamin supaya kekayaan negeri ini dimiliki kita sebanyak 67 peratus.

“Orang Melayu harus kenal siapa sekutu kita, siapa saudara-mara kita,” katanya lagi.

Turut hadir menjadi ahli panel ialah pro-canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Abdul Rahmad Arshad serta timbalan presiden PAS Datuk Nasharuddin Mat Isa.

Sementara itu, Pengerusi DAP Karpal Singh dalam satu kenyataan medianya petang ini meminta supaya pihak polis menyiasat berhubung kenyataan Mohd Noor yang disifatkannya berbaur hasutan.

Menurut Karpal, dengan bahasa yang digunakan sangat provokatif, beliau mendakwa kenyataan Mohd Noor itu bertujuan untuk menghasut.

"Saya agak terkejut dengan kenyataan berbaur hasutan yang dibuat oleh bekas hakim mahkamah rayuan, Mohd Noor Abdullah yang mempunyai elemen hasutan. Tidak syak lagi, Mohd Noor telah gunakan bahasa yang sangat provokatif," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda