KJ: Suruh tinggal negara pandangan peribadi Zahid

Gesaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya golongan yang enggan menerima sistem pilihan raya Malaysia meninggalkan negara ini tidak mewakili pendirian kerajaan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

"Itu adalah pandangan peribadinya. Tidak mencerminkan pendirian kerajaan.

"Tengok juga artikel itu secara keseluruhan, beliau cuba menyampaikan bahawa kita mempunyai sistem tertentu di Malaysia. First past the post (pemenang undi terbanyak).

"Kita tidak ada sistem demokrasi langsung. Kita tidak ada sistem siapa menang undi popular, boleh bentuk kerajaan. Kita ada sistem wakil rakyat dalam demokrasi berparlimen....

"Jadi sistem itu, harapannya bahawa semua dapat menerima keputusan yang sedia ada," katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Khairy juga berharap semua pihak menerima keputusan pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Zahid semalam menyeru golongan yang enggan menerima sistem pilihan raya berhijrah ke negara yang menjalankan pilihan raya mengikut kaedah yang digemari, sama ada list system atau single transferable vote di negara republik.

Menteri dalam negeri itu menulis di Utusan Malaysia, merujuk kepada siri perhimpunan besar pembangkang di seluruh negeri yang mempertikaikan keputusan pilihan raya umum 5 Mei lalu.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.