Najib perbaharui ikrar M'sia lebih hijau

   

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menegaskan bahawa usaha melindungi alam sekitar begitu dekat di hatinya, memperbaharui ikrarnya ke arah Malaysia yang lebih hijau.

Dalam entri terkini beliau menerusi blog 1Malaysia sempena Hari Alam Sekitar Sedunia hari ini, beliau berkata Malaysia kini merupakan pengeluar utama produk teknologi bersih seperti panel solar dan lampu LED efisien.

"Tahun ini, kami meningkatkan pembiayaan bagi Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sebanyak RM2 bilion untuk menggalakkan pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau.

"Tambahan pula, dengan pengenalan skim pelabelan jejak karbon GreenTech Malaysia, pengguna tidak lama lagi akan berupaya membuat keputusan lebih bermaklumat berkaitan barangan dan perkhidmatan yang mereka bayar," kata Najib.

Perdana menteri menegaskan pendirian Malaysia jelas dari segi perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar.

"Pertamanya, kami menetapkan sasaran untuk memastikan agar 50 peratus daripada hutan kekal Malaysia terpelihara untuk melindungi biokepelbagaian negara yang begitu penting," katanya.

"Keduanya, kami berikrar untuk mengurangkan kadar pelepasan tinggi karbon kepada 40 peratus menjelang 2020 daripada kadar 2005, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang bersesuaian dengan kestabilan iklim, dan kami berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat kami," katanya.

Najib berkata risiko perubahan iklim sememangnya diketahui umum - cuaca yang keterlaluan, perubahan taburan hujan dan peningkatan paras laut.

"Perubahan ini akan menimbulkan saingan bagi sumber baharu, perubahan wilayah dan gangguan kepada pola dagangan, kesemuanya mempunyai potensi untuk mengakibatkan konflik antara negara," katanya.

Beliau berkata bagi bahagian bumi yang mudah terdedah kepada perubahan iklim, pemanasan global telahpun menjadi ancaman keselamatan yang utama.

"Cara kita melindungi bumi ini akan menjejaskan bukan kita saja, tetapi juga anak cucu kita. Kita mesti memastikan bahawa kita mewariskan kepada mereka sebuah dunia yang selayaknya diwarisi," kata perdana menteri.

"Pada Hari Alam Sekitar Sedunia ini, saya ingin memperbaharui ikrar saya ke arah sebuah Malaysia yang lebih hijau, satu warisan yang saya akan berasa bangga untuk tinggalkan bukan hanya kepada anak-anak saya tetapi kepada anak-anak penduduk negara ini juga," katanya.

Sambutan Hari Alam Sekitar Dunia bermula pada 1972 dan berkembang menjadi satu daripada wadah utama untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merangsang ke seluruh dunia kesedaran tentang alam sekitar dan menggalakkan perhatian serta tindakan politik.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In