Calon Bersama bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Solehin Saleh, mempunyai pendekatan tersendiri untuk mencuri perhatian pengundi di kawasan itu.

Abang kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh itu menggunakan poster dan sepanduk dengan pelbagai slogan unik di sekitar kawasan Bemban.

Berbeza dengan calon lain yang lebih banyak menggunakan bahan kempen untuk memperkenalkan diri dan merayu undi, Solehin sebaliknya menarik tumpuan dengan hal-hal bersifat peribadi dan berseloroh.

Antara yang mencuri perhatian ialah sepanduk dengan ayat "Saya sayang isteri saya".

Bahan kempen itu pada awalnya dikongsikan isteri calon berusia 40 tahun berkenaan, Nurul Hidayah Abdullah, menerusi aplikasi Threads.

"Lain macam poster kempen suami untuk PRN Melaka. Orang Bemban jangan segan-segan pangkah nombor 2," katanya dalam satu hantaran baru-baru ini.

Tinjauan Malaysiakini di sekitar Bemban mendapati pelbagai poster dan sepanduk unik Solehin dipasang di beberapa lokasi.

Antaranya sepanduk dengan slogan "Semua pernah muda, tapi tak semua pernah IMO!", yang dilihat cuba menarik perhatian pengundi muda.

IMO merujuk kepada Mythical Immortal, iaitu antara tahap tertinggi dalam sistem ranking permainan mudah alih Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Selain slogan berseloroh, pemilik empat klinik perubatan itu turut mempromosikan perkhidmatan kesihatannya, termasuk tawaran menurunkan berat badan dan perkhidmatan ambulans pada harga rendah.

Satu lagi poster memaparkan Solehin memakai baju Melayu sambil memegang sejambak bunga, dengan ayat "Ini poster kempen, bukan iklan cari jodoh ya".

Dalam persaingan empat penjuru esok, Solehin bakal berdepan penyandang kerusi daripada Wawasan, Dr Mohd Yadzil Yaakub; calon Bersatu, Muhammad Rabaie Ab Hamid; serta calon Bebas, Abdul Halim Said.

DUN Bemban mempunyai 26,381 pengundi, terdiri daripada 62.75 peratus Melayu, 19.61 peratus Cina, 16.76 peratus India dan 0.9 peratus kaum lain.

Pada PRN Melaka 2021, Yadzil yang ketika itu bertanding atas tiket Bersatu memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 328 undi, menewaskan calon BN.