Menteri: Jangan sensasi isu sebatan 22 wanita di Johor

   

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta rakyat tidak mensensasikan laporan akhbar berhubung 22 wanita dihukum sebat atas kesalahan syariah di Johor.

Bernama melaporkan beliau berkata mereka perlu membezakan hukuman sebat dalam undang-undang sivil dan syariah dalam menentukan pandangan mereka terhadap isu itu.

NONE "Sebat dalam syariah ini amat berbeza dengan sivil... ia beza amat jauh dengan sebat syariah antaranya sebat syariah ini tidak melukakan. Bukan sahaja Johor, negeri lain begitu juga, tidak perlulah kita sensasikan isu ini," katanya.

Kesemua wanita itu adalah antara 39 pesalah syariah yang dihukum enam sebatan bagi kesalahan sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah di Johor sejak dua bulan lepas.

Laporan eksklusif Berita Harian hari ini menyebut dua lagi wanita yang dikenakan hukuman yang sama, mendapat penangguhan pelaksanaan kerana masing-masing sedang mengandung dan baru bersalin.

Mereka adalah kumpulan pesalah syariah pertama di negeri itu dikenakan hukuman tersebut yang dilakukan secara tertutup di Penjara Kluang.

Dalam laporan itu juga, walaupun hukuman sebatan tersebut diperuntukkan mengikut Enakmen Undang-undang Tatacara jenayah Syariah bagi semua negeri, namun hanya dua bulan lalu Johor melaksanakan hukuman itu.

Pada 4 April lalu, seorang lelaki dan wanita menjadi individu pertama menjalani hukuman sebat di Penjara Kluang bagi kesalahan sumbang mahram mengikut seksyen 20.

Manakala sembilan lelaki dan 14 wanita menjalani hukuman yang sama pada 28 April, dan diikuti tujuh lelaki dan sembilan wanita pada 17 Mei lalu bagi kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah iaitu mengikut seksyen 23.

Jabatan Agama Johor kini mengkaji cadangan untuk melaksanakan hukuman itu di khalayak ramai atau di masjid bagi memberi kesedaran serta keinsafan kepada pesalah serta umat Islam lain, lapor akhbar itu lagi.

Malaysiakini
terkini untuk anda