Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gabungan NGO Suara Rakyat 505 akan mengadakan dua 'flashmob' sebagai sebahagian daripada jelajah menjelang himpunan pada 22 Jun ini, kata Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.

'Flashmob' pertama akan berlangsung pada jam 2 petang esok di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan fokus utama berhampiran gedung membeli-belah Sogo.

NONE 'Flashmob' kedua pula akan berlangsung pada 19 Jun pada pukul 6 petang di Jalan Tun Perak.

Kemuncak jelajah tersebut, kata Badrul lagi, adalah majlis pengiraan detik akhir di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur pada 21 Jun.

"Pada malam kemuncak itu, hadirin akan diberi pedoman akhir bagi menghadapi hari besar 22 Jun 2013, hari rakyat menolak penipuan pilihan raya umum," kata Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard pada sidang media pagi tadi.

Selain itu, beberapa pidato perdana akan turut berlangsung di seluruh negara menjelang himpunan Blackout 505, kata Chegubard.

Menurutnya, ia akan berlangsung pada 17 Jun (di Meru dan Ipoh), 18 Jun (di Sungai Besar, Selangor), dan 20 Jun (Temerloh, Pahang), kata Chegubard.

Beliau turut mengambil kesempatan mengulas kenyataan pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga berkenaan kemungkinan jalan raya merupakan medium paling berkesan untuk rakyat melakukan reformasi pilihan raya.

Chegubard menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada Ambiga yang menyokong gerakan rakyat massa.

"Kami mengenali sosok Datuk Ambiga, beliau cukup berhati-hati dan lembut dalam banyak perkara.

"Tetapi hari ini kita mengucapkan terima kasih kerana akhirnya beliau sedar dan akur dengan kehendak rakyat," katanya.

ADS