Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Ada syarikat paksa pekerja buka tudung
Diterbitkan:  Jul 1, 2013 12:24 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Satu siri laporan akhbar Berita Harian hari ini mendakwa terdapat syarikat yang menetapkan syarat ke atas wanita agar membuka tudung sekiranya ingin menerima tawaran kerja.

Laporan tersebut memetik kenyataan dua orang wanita berbeza – seorang daripadanya mendakwa diberitahu mengenai syarat tersebut apabila ditemuduga untuk jawatan kerani di satu rangkaian kedai fotografi.

Wanita berkenaan mendakwa, pekerja tersebut memberitahunya bahawa beliau akan diminta menanggalkan tudung untuk bekerja.

“Dia perasan saya pelik dengan kenyataan itu dan menjelaskan sekiranya dia tidak memaklumkannya kepada saya, dia akan dimarahi pengurus kerana tidak memberitahu perkara berkenaan terlebih dahulu,” katanya seperti dipetik akhbar berkenaan.

Seorang lagi wanita mendakwa diminta untuk membuka tudung apabila beliau menerima tawaran untuk jawatan jurujual di satu kedai di Suria KLCC.

“Ketika ditemuduga, kakitangan premis itu meminta say amembuka tudung atas alasan ia sebahagian dasar yang perlu dipatuhi pekerja.

“Saya tidak menunggu lama di situ dan menolak jawatan berkenaan yang jelas bertentangan dengan agama,” kata wanita tersebut yang dinamakan sebagai Aein.

Selain itu, wartawan akhbar tersebut turut menyamar sebagai pencari kerja dan mengunjungi satu kedai fotografi.

Wartawan berkenaan mendakwa ditemuduga oleh pengarah sumber manusia syarikat terbabit yang meminta beliau membuka tudung dan memakai skirt bagi membolehkan beliau diterima untuk bekerja.

“Jika mahu bekerja di sini, awak perlu membuka tudung dan memakai skirt. Itu dasar syarikat. Tiada kompromi,” kata pengarah terbabit seperti didakwa dalam laporan di akhbar tersebut.

Laporan berkenaan turut memetik kenyataan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan dan penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut.

Nadzim mendakwa ada rangkaian kedai foto yang memaksa petugas di bahagian pentadbiran membuka tudung.

Noh pula antara lainnya menasihati agar pencari kerja mengatasi perkara itu dengan mencari pekerjaan yang lebih sesuai dan berkat.

ADS