Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk merujuk MP Simpang Renggam Liang Teck Meng ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen atas kenyataannya yang mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki wang ratusan juta ringgit dalam akaun bank luar negara.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat telah memberitahunya bahawa usul tersebut akan dibahaskan pada Khamis ini.

"Jeff Ooi telah membangkitkan isu ini dan Yang Dipertua telah memberi peluang kepada Simpang Renggam (Liang Teck Meng) menarik balik kenyataannya tapi dia menolak. Jadi Yang Dipertua kata beliau akan buat keputusan terhadap perkara itu.

"Sudah dua minggu dan hari ini kami bertanya kepada Yang Dipertua tentang keputusannya dan dia memberitahu isu itu akan didebatkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Pada2 Julai lalu, Liang dilapor mendakwa Anwar memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara termasuk Israel dengan jumlah simpanan kira-kira RM332 juta, berdasarkan maklumat laman Wikileaks.

Dakwanya, anggota Parlimen Permatang Pauh itu mempunyai jumlah simpanan kira-kira AS$66 juta (RM209 juta) dan SGD$49 juta (RM123 juta) di bank di Amerika Syarikat, China, Singapura dan Israel.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat berkata, Liang sehingga kini masih belum mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaannya itu.

"Saya tidak fikir Dewan Rakyat mempunyai apa-apa pilihan selain daripada membahaskan perkara itu. Dia tidak mempunyai apa-apa bukti.

"Dia juga bukan sahaja tak berani untuk ulang perkara itu di luar Dewan malah di dalam Dewan juga," katanya.

ADS