Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata peletakan jawatannya daripada Kabinet akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri Najib Razak menjejakkan kaki di rumah.

Loke mengumumkan perkara itu pada sidang media di pejabatnya hari ini, beberapa jam selepas Najib dilaporkan keluar dari Penjara Kajang.

"Pendirian saya tidak berubah. The moment Najib Razak sampai rumah bermaksud saya akan letakkan jawatan," katanya.

"Kalau malam ini dia jejak rumah malam inilah berkuat kuasa. Jika esok, esoklah (berkuat kuasa)," kata setiausaha agung DAP itu.

Dia turut menjelaskan bahawa laporan media bahawa Najib dilihat keluar dari Penjara Kajang bukan bermakna bekas presiden Umno itu telah tiba di rumah.

Sebaliknya Ahli parlimen Seremban itu berkata bahawa, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution memberitahunya bahawa Najib ke klinik pergigian untuk membuat pemeriksaan gigi.

"Saya difahamkan denda RM50 juta itu telah diselesaikan pagi tadi. Namun, begitu sebentar tadi saya difahamkan oleh Saifuddin bahawa Najib belum lagi dibenarkan pulang ke rumah.

"Saya mendapat pengesahan dari menteri, Najib dihantar ke klinik pergigian untuk pemeriksaan gigi seperti dijadualkan pada hari ini.

"Maksudnya, dia belum dihantar ke rumah," katanya.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas mandat dan kepercayaan yang diberikan sepanjang 47 bulan dia menjadi menteri pengangkutan.

Ditanya sama ada perdana menteri ada menghubunginya, Loke menjawab: “Tak. Pendirian saya telah pun dinyatakan sebelum ini," katanya.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020 selepas disabitkan kesalahan dalam kes SRC International yang melibatkan RM42 juta.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan di bawah Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengurangkan hukuman itu kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Pada September, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan pengampunan tambahan dalam bentuk tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, dengan syarat Najib membayar denda RM50 juta. Umno kemudian melancarkan tabung solidariti untuk membantu Najib membayar denda itu.

Loke sebelum ini mengumumkan hasrat meletak jawatan susulan keputusan tersebut dan kemudian menjelaskan peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa apabila Najib pulang ke rumah.

Pagi tadi, Najib melunaskan bayaran denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Najib, Farhan Shafee berkata selepas denda itu dibayar, mahkamah mengeluarkan perintah tahanan rumah selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan.

Perintah itu sedang dihantar ke Penjara Kajang bagi membolehkan Najib dipindahkan pulang ke rumah.