Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS anjur jelajah 'bantah' konsert Metallica
Diterbitkan:  Aug 20, 2013 1:21 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPM) membantah penganjuran konsert kumpulan rock Amerika Syarikat, Metallica di Stadium Merdeka yang dijadual berlangsung esok kerana dianggap tidak mencerminkan budaya masyarakat Malaysia.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata bantahan mereka tidak bermakna dewan itu menghalang hiburan, sebaliknya mereka menyokongnya "namun biarlah ia sesuai dengan budaya dan norma masyarakat" di negara ini.

NONE "Budaya rock atau thrash metal yang membawa lagu-lagu keras dilihat agak keterlaluan kepada masyarakat khususnya umat Islam. Budaya apakah yang ingin kita terapkan kepada anak-anak muda dengan lagu-lagu rock yang keras seperti Metallica?

"Apakah nilai dan budaya positif yang ingin dipupuk hasil dari penganjuran konsert ini. Sebaiknya kerajaan prihatin terhadap penganjuran sesuatu konsert itu," katanya dalam satu kenyataan.

Khairul Faizi berkata penganjuran sesuatu program hiburan perlu dilihat dan dinilai mengikut kesesuaian tarikh, latar belakang artis yang diundang, konsep lagu, serta sejauh mana artis itu menjadi ikon dan mampu mencerminkan budaya positif kepada masyarakat.

"Sebaiknya dalam situasi dan urutan peristiwa dunia yang melanda seperti tragedi pembunuhan umat Islam di Mesir dan Syria, kerajaan mengambil langkah prihatin dengan mengelakkan program hiburan yang melalaikan masyarakat khususnya umat Islam.

"Masyarakat seharusnya disedarkan tentang isu-isu yang berlaku di samping menghulurkan sumbangan mahupun doa agar kesejahteraan ummah terjamin," katanya.

Sehubungan itu, kata Khairul Faizi sebagai usaha memberikan kesedaran kepada para penonton yang akan membanjiri stadium itu, Pemuda PAS akan mengadakan ekspedisi dakwah semasa konsert itu dijalankan.

"(Program jelajah) ini dijangka akan bermula pada pukul 6 petang di perkarangan Stadium Merdeka. DPPM juga mempelawa anak-anak muda untuk bersama menyertai ekspedisi Dakwah ini," katanya.

ADS