ULASAN | PRU Israel pada 27 Okt lalu disambut oleh sebahagian media antarabangsa seolah-olah membuka lembaran baru. Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu memenangi 27 kerusi, manakala parti Yashar pimpinan Gadi Eisenkot memperoleh 21 kerusi.

Namun majoriti parti utama mencadangkan nama Eisenkot untuk jadi pemimpin, lalu Presiden Isaac Herzog menyerahkan mandat kepada bekas Ketua Turus Tentera Israel itu untuk membentuk kerajaan dalam tempoh 28 hari.

Bagi sesetengah pihak, berakhirnya era Netanyahu dianggap sebagai cahaya di hujung terowong. Saya tidak berkongsi keyakinan itu.

Saya pernah menjejakkan kaki ke Gaza bersama delegasi dari Selangor pada suatu Ramadan. Saya bersama Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang juga seorang sahabat, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Ketika itu Gaza sudah lama hidup di bawah kepungan Zionis.

Bagi saya, kunjungan itu menjadikan satu hakikat lebih jelas daripada apa yang dapat dibaca dalam berita: kepungan, sekatan dan pendudukan bukan dasar seorang perdana menteri. Ia adalah sistem yang diwarisi daripada satu kerajaan kepada kerajaan berikutnya.

Hakikat itulah yang ditegaskan oleh sahabat saya itu dalam tulisannya baru-baru ini – bahawa pertukaran kerajaan di Israel tidak semestinya membawa perubahan ideologi, doktrin ketenteraan atau dasar terhadap rakyat Palestin.

Saya bersetuju sepenuhnya, dan ingin menambah beberapa bukti untuk renungan bersama.

Siapa Eisenkot?

Dia bukan tokoh pendamai. Namanya terpahat pada apa yang dikenali sebagai “Doktrin Dahiya” iaitu rumusan yang dinyatakannya pada 2008 – ketika mengetuai pasukan Komando Utara Israel –iaitu perlunya penggunaan kekuatan tidak seimbang terhadap kawasan awam yang dianggap melindungi musuh.

Selepas 7 Okt 2023, dia menganggotai kabinet perang yang bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Gaza. Perbezaan Eisenkot dengan Netanyahu lebih banyak berkisar pada gaya kepimpinan, isu integriti dan hal ehwal dalaman Israel, bukan soal hak rakyat Palestin.

Lebih membimbangkan, ketika menerima mandat, Eisenkot sendiri merayu agar Likud dan Religious Zionism menyertai kerajaannya, dengan syarat mereka menerima empat prinsip yang digariskan.

Harapan selepas PRU tamat

Religious Zionism ialah parti Bezalel Smotrich, menteri yang lantang menyokong perluasan penempatan haram.

Netanyahu pula menyeru kerajaan perpaduan yang merangkumi semua parti Zionis dan ultraortodoks, tetapi menolak parti Arab yang dilabelnya sebagai “penyokong Hamas”.

Kedua-dua kem memang bersaing, tetapi kedua-duanya semacam bersetuju bahawa suara warga Palestin di Israel tidak wajar menentukan arah negara tersebut.

Jika kita mahu menilai Israel melalui tindakan Eisenkot – seperti yang disarankan oleh Mohd Azmi – lihat sahaja Gaza hari ini. Setahun selepas “gencatan senjata” pada Okt 2025, Israel menyekat akses ke kira-kira 65 peratus wilayah Gaza di sebalik apa yang dinamakan Yellow Line, dan blok konkrit kuning itu terus dianjak ke barat.

Lebih 1.9 juta penduduk hidup dalam khemah. Menurut pertubuhan Al-Haq, 1,445 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata berlangsung, menjadikan jumlah korban sejak Okt 2023 melebihi 74,000 orang.

Semua itu berlaku sebelum, semasa dan selepas kempen PRU. Tiada calon perdana menteri yang menjadikan pengunduran dari Gaza atau penghentian penempatan haram sebagai janji utama.

Inilah maksud “seni bina pendudukan”, iaitu struktur yang terus berdiri teguh tanpa mengira siapa yang duduk di kerusi perdana menteri.

Justeru di mana ketaknya harapan selepas PRU berakhir?

Afrika Selatan mengemukakan kes mereka terhadap Israel di ICJ pada 2024.

Saya percaya jawapannya ialah tekanan luar yang berterusan. Waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Netanyahu dan Yoav Gallant masih berkuat kuasa.

Kes Afrika Selatan lawan Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terus bergerak walaupun perlahan. Pretoria perlu memfailkan jawapannya menjelang Nov 2027, manakala Tel Aviv diberi tempoh sehingga Mei 2029 untuk mengemukakan hujah balas.

Al-Haq pula telah membawa lebih 30 kes di 13 bidang kuasa untuk menyekat eksport senjata dan memburu pelaku jenayah.

Tamatkan pendudukan haram, aparteid

Namun saluran-saluran itu sendiri sedang diserang. AS mengenakan sekatan ke atas Al-Haq, Al Mezan dan Pusat Hak Asasi Manusia Palestin (PCHR) kerana kerjasama mereka dengan ICC, di samping hakim dan pendakwa raya mahkamah itu.

Hal itu membuktikan bahawa undang-undang antarabangsa – walaupun lambat – masih ditakuti oleh mereka yang mahu terus kebal daripada hukuman.

Bagi kita di Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin, ada tiga pengajaran.

Pertama, jangan terpedaya dengan wajah baru. Pujian atau harapan berlebihan terhadap mana-mana pemimpin Israel hanya mengaburkan realiti di lapangan.

Kedua, sokong usaha dokumentasi dan akauntabiliti kerana bukti yang dikumpul hari ini akan menjadi asas keadilan pada masa hadapan.

Ketiga, teruskan tekanan ekonomi dan diplomatik, termasuk menggesa kerajaan dan syarikat memastikan tiada rantaian bekalan yang menyumbang kepada ‘mesin perang’.

Tarikh 15 Nov ini merupakan Hari Kemerdekaan Palestin, dan 29 Nov adalah Hari Solidariti Antarabangsa Rakyat Palestin.

Inilah peluang untuk kita kembali menegaskan bahawa isu Palestin bukan pertandingan antara personaliti politik Israel, tetapi soal menamatkan pendudukan, meruntuhkan struktur aparteid dan memulihkan kedaulatan rakyat Palestin.

Dunia telah menyaksikan ramai perdana menteri Israel datang dan pergi sejak 1948, tetapi rakyat Palestin masih menanti hari mereka bebas di tanah air sendiri.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR seorang OKU, penulis dan pemenang anugerah sastera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.