Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menangkis tanggapan bahawa Pakatan Rakyat hanya memfokuskan kempen untuk menarik sokongan pengundi Cina dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

"Tak betul hanya fokus pada pengundi Cina sahaja. Tetapi keputusannya begitu (undi Cina banyak)," katanya ketika menjawab pertanyaan oleh seorang hadirin dalam satu program syarahan anjuran parti itu malam tadi.

Dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu, parti dalam Pakatan berjaya memenangi 51.4 peratus undi popular berbanding 48.6 peratus oleh BN.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengulas keputusan pilihan raya itu menyebut, sokongan yang besar kepada Pakatan itu merupakan satu "tsunami Cina".

Dakwaan itu bagaimanapun ditangkis oleh pemimpin Pakatan yang berkata parti itu turut mendapat sokongan besar dari masyarakat bukan Melayu, seperti 90 peratus di Kelantan.

Pemimpin DAP yang menangkis dakwaan Najib itu membangkitkan bahawa Pakatan tidak akan mampu mendapat sokongan sebesar itu tanpa sokongan 50 peratus pengundi Melayu.

Sementara itu, dalam Salahuddin ketika mendalami isu berkenaan berkata, beliau melihat bahawa parti DAP yang juga kini sedang berusaha mengelakkan dari dilihat sebagai parti “fanatik Cina”.

"Saya lihat tokoh-tokoh muda DAP telah cuba bersungguh-sungguh untuk padamkan tanggapan bahawa mereka pemimpin DAP yang ekstrim.

"Sama macam PAS yang kini bersungguh untuk bukti bahawa PAS itu wujud dengan berwajah Malaysia. Begitu juga dengan DAP yang kini ingin jauhkan tanggapan parti itu fanatik Cina," kata Salahuddin.

Turut hadir sebagai panel program Syarahan Perdana Datuk Fadzil Noor – Pasca-PRU13 anjuran Pusat Penyelidikan PAS di Ampang, malam tadi ialah naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

ADS