Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri minta Anwar bawa usul dialog ke Parlimen
Diterbitkan:  Sep 1, 2013 11:42 AM
Dikemaskini: Sep 2, 2013 12:39 AM

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan supaya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa usul mengenai dialog isu kebangsaan ke persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.

Dengan itu, katanya perbincangan itu dapat dilakukan secara telus dan terbuka oleh semua pihak malah dapat disampaikan terus kepada rakyat.

"Apa sahaja perkara yang hendak dibincang, dirunding, (kita) bawa dalam Parlimen sebab kita kena telus tentang perkara ini supaya rakyat tahu," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Sambutan 50 Tahun Muzium Negara dan melancarkan duit syiling peringatan serta setem sempena sambutan jubli emas itu.

Mohamed Nazri berkata beliau hanya bersetuju sesi dialog itu diadakan jika Anggota Parlimen Permatang Pauh itu mahu berbuat demikian secara jujur dengan kerajaan.

Namun, beliau berpendapat Anwar membuat keputusan itu setelah mendapati pengaruhnya semakin tergugat.

Mohamed Nazri diminta mengulas laporan portal berita yang memetik Anwar sebagai mengajak kerajaan berdialog untuk membincangkan isu kebangsaan yang perlu ditangani bersama pembangkang atas semangat merdeka.

Ditanya mengenai Anwar yang masih tidak mahu menerima persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selagi pengerusi dan timbalan pengerusinya tidak meletak jawatan, Mohamed Nazri berkata permintaan ketua pembangkang itu menunjukkan hakikat sebenar bahawa beliau tidak mahu sebarang rundingan.

"Bila rasa tergugat kuasa, baru terfikir nak berunding. Jika mahu runding, buat dengan ikhlas dan telus supaya rakyat tahu apa yang Anwar usulkan kepada kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan 40,000 pengundi hantu warga Bangladesh dibawa masuk pada pilihan raya umum lepas, beliau berkata sehingga kini tiada satu pun petisyen yang dihantar Anwar ke mahkamah berkenaan isu itu.

Mohamed Nazri berkata Anwar seharusnya menggunakan pendekatan persidangan di Parlimen sebagai langkah terbaik untuk berbincang kerana ia meliputi semua pihak agar rakyat dapat melihat keadaan yang berlaku tanpa menyembunyikan fakta sebenar.

- Bernama

ADS