Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin NGO dakwa Syiah ciptaan Yahudi
Diterbitkan:  Sep 9, 2013 11:01 AM
Dikemaskini: 7:38 AM

Seorang pemimpin NGO Islam mendakwa fahaman Syiah diasaskan oleh golongan Yahudi untuk merosakkan pengikut Islam.

Laporan Utusan Malaysia memetik kenyataan pemimpin Ikatan Muslimin Malaysia (IMM) Mohamad Ismail berkata dakwaan itu “berdasarkan doktrin Syiah yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan pegangan Islam sebenar”.

Beliau yang mengetuai “Unit Kajian Syiah” di NGO tersebut mendakwa demikian dalam pembentangan kertas kerja bertajuk Sejarah, Konsep dan Doktrin Syiah dalam Seminar Mendepani Virus Syiah di Kuala Lumpur semalam, lapor Utusan.

Beliau seterusnya menyenaraikan amalan dan fahaman dalam Syiah yang didakwa diasaskan golongan Yahudi, seperti dakwaan tersebut.

Antaranya, fahaman bahawa para “imam 12” terpelihara dari dosa kecil dan besar dan kepercayaan bahawa keingkaran pada imam tersebut merupakan perbuatan kafir.

"Nikah mutaah pula mendapat kedudukan tinggi dan mulia dalam ajaran Syiah sedangkan perbuatan itu adalah pelacuran yang menggunakan nama agama serta bersifat nafsu semata-mata yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam," katanya lagi seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Turut digariskannya ialah kepercayaan bahawa kitab sebenar al-Quran akan muncul bersama Imam Mahdi di akhir zaman.

Laporan satu muka penuh berhubung seminar berkenaan turut menonjolkan pandangan penolong setiausaha di bahagian keselamatan dan ketenteraman awam kementerian dalam negeri, Zaminan Md Zain.

Zamihan menuntut agar kerajaan memperkenal undang-undang seperti ISA dan Ordinan Darurat untuk menyekat ajaran berkenaan.

Turut ditonjolkan dalam laporan Utusan ialah bekas naib presiden PAS Datuk Nakhaie Ahmad yang menyalahkan PAS sebagai penyebar ajaran berkenaan.

Dakwanya, anggota PAS pada tahun 1980-an menghantar anak-anak untuk menuntut di Iran, yang kemudiannya membawa pulang ajaran tersebut.

ADS