Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng harus menyedarkan rakyat akan kezaliman yang pernah dilakukan pemimpin komunis itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata titah Sultan Selangor pada Khamis lepas itu jelas menunjukkan fahaman zalim yang dibawa Chin Peng dengan berazam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara komunis.

Justeru, katanya, sebarang kenyataan melampau dan keterlaluan pihak tertentu yang menyanjung serta mengiktiraf pemimpin komunis itu perlu dihentikan.

"Bagi saya, pihak yang menjadikan Chin Peng sebagai ikon perjuangan menuntut kemerdekaan perlu menyorot sejarah keganasan komunis yang telah membunuh ramai anggota keselamatan dan mengakibatkan ribuan lagi cacat anggota.

"Banyak nyawa orang awam juga terkorban selain banyak wang negara dibazirkan bagi membanteras kegiatan dan keganasan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah di bawah Program Baik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia di Papar hari ini.

Hishammuddin berkata tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit mengguris perasaan veteran tentera dan bekas polis, anggota keluarga mereka dan majoriti rakyat Malaysia yang memahami dan menghayati sejarah negara.

Mengenai Program Baik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia, Hishammuddin berharap lebih banyak golongan belia melibatkan diri dalam gotong-royong membaik pulih rumah veteran tentera sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Menerusi program itu, yang dilancarkan pada 15 Dis lepas, beliau berkata sebanyak 200 rumah seluruh negara dibina dan dibaik pulih sehingga 25 Sept lepas.

- Bernama

ADS