Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN

Sebagai seorang wartawan, penulis dan kini bergelar blo g ger kecil kesal dengan sikap menteri KDN, Ahmad Zahidi Hamidi terhadap apa yang beliau lakukan kepada seorang wartawan portal berita berbangsa Cina.

Atas kapasiti saya juga orang Melayu saya sepatutnya menyokong tindakan Zahid itu kerana portal berita berkenaan saya lihat ada unsur-unsur seperti mana Zahid tampak dan rasakan.

Tetapi sebagai seorang wartawan, penulis dan warga siber, saya tidak boleh terima apa yang Zahid tunjukkan itu. Ia tetap sesuatu yang tidak sepantasnya.

Kalaulah klik video mengenai kejadian itu benar, (berhubung aksi Zahid terhadap wartawan itu) bukan diedit, tidak sepatut Zahid bersikap demikian. Betapa dia benci dan berbulu dengan wartawan itu beliau boleh menegur secara berhemat sesuai dengan jawatannya sebagai seorang menteri kanan yang menjadi public figure .

Anwar Ibrahim juga sesekali berkelakuan dan berbuat hal yang sama, mengherdik dan memperlecehkan wartawan apabila beliau tidak berpuas hati dengan akhbar tempat wartawan mencari makan yang memutar belitkan berita mengenainya. Bahkan saya sendiri pernah diperkecil-kecil dan diherdik oleh Anwar. Tetapi tindakan Anwar tidak separah apa yang Zahid lakukan itu. Anwar hanya marah pukul 2:25 tetapi menghulur tangan bersalam pukul 2:56.

Benar Zahid menepuk-nepuk (manja) bahu wartawan Cina itu. Tetapi menepuk sambil memberi amaran begitu ia membawa konotasi lain. Ia dianggap Zahid merasakan dirinya besar, hebat dan penuh berkuasa. Apa lagi dengan wajah wartawan itu terkulat-kulat, tersenyum gelabah dan takut, mempamerkan aksi itu Zahid sebagai seorang arragont .

Zahid sebagai menteri dan pemimpin kanan Umno yang kebetulan pula sedang berdepan dengan jadual pemilihan, saya memahami perasaan Zahid dengan apa yang dilaporkan oleh portal berita berkenaan. Zahid berhak merasa tidak senang kalau ia sudah dianggap melampau dan tidak profesional. Memang ada niat portal berkenaan semacam sengaja hendak memburuk-burukan Zahid walaupun isu di sekitarnya relevan untuk dibangkitkan.

Walaupun ia menyiarkan berita dengan penuh keadilan (dakwaan portal berkenaan) tetapi ada nawaitu tersembunyi yang dapat diintip. Bahawa Zahid memang jelas di- attack oleh portal berita berkenaan. Semacam portal berita itu memahami akan Zahid adalah aset kepada kekuatan Umno dan bangsa Melayu negara ini.

Tetapi seperti saya nyatakan, betapa pun begitu bukan cara itu untuk Zahid bertindak melempiaskan rasa kurang senangnya. Apa lagi bukan itu personaliti dan perangai Zahid sebenarnya. Beliau dikenali seorang berhemah dan PR-nya kelas satu apa lagi dengan wartawan. Saya yakin kalau diminta penjelasan dengan jujur dan penuh profesional beliau akan melayaninya. Maka apa yang terjadi itu ia dilihat sangat kontradik dengan sahsiah Zahid.

Saya berani menukil begini kerana saya pernah mendekati atau pun pernah minum sekali dengan beliau. Bukan saja di Malaysia tetapi hingga di Makkah. Maka saya kenal benar akan kehematan anak Pak Hamidi Bagan Datoh ini mengenai hubungan dan sifat 'berkawan' beliau dengan wartawan dan komuniti lain. Sebab itulah bila ada apa-apa majlisnya seperti hari raya dan kenduri-kendara ia penuh gegak dengan para hadirin kawan dan juga lawan.

Manakala dari segi wawasan dan pemimpin harapan masa depan, walaupun ada kalanya keputusan Zahid mengenai sesuatu hal agak melucukan atau menampakkan kelemahan beliau sebagai menteri, tetapi dari segi political will untuk bangsa Melayu sangat tinggi. Sebagai menteri beliau adakalanya gagal meletakkan dirinya konsisten dalam sesuatu isu. Tetapi dari sudut visi dan misi serta pengetahuan agama Zahid adalah antara tokoh yang dikagumi.

Saya sendiri pernah mengangan-angan yang beliau suatu hari agar beliau menjadi perdana menteri. Keistimewaan dan modal besar beliau ialah, beliau anak petani, anak orang kebanyakan. Sesekali Malaysia perlu terlepas daripada dimiliki oleh anak-anak atau keturunan bangsawan yang menyambung penguasaan kepada anak petani dan nelayan pula.

Sebagai anak petani orang kampung, Zahid lebih memahami mengenai kemiskinan, kesusahan, tahu hanyir air kubang atau miang pokok buluh dan tajamnya duri nipah. Orang seperti inilah kalau dia menjadi pemimpin tertinggi dia akan obses atau concern kepada orang miskin. Hanya pipit jugalah yang memahami masalah pipit, enggang tetap mengenali enggang yang terbang tinggi di lautan biru tanpa melihat kepada pipit di lembah. Apakah ada orang yang cemburu dan mahu menghalang Zahid?

Mengenai aksi dengan wartawan Cina itu saya tetap kesal dan menganggap tidak sepatut berlaku. Namun adalah tidak adil juga untuk menyalahkan Zahid seratus peratus. Semua orang kena fahami beliau juga seorang manusia yang tidak maksum dan ada hambatan-hambatan kehidupan tersendiri. Sepanjang seminggu bukan semua kita bahagia tujuh hari, ada juga hari yang menyempitkan pemikiran kita.

Jika diperhatikan sampai ke hari ini portal berita berkenaan terus menyinis Zahid. Rasanya kalau pun tindakan untuk membela karyawannya tetapi tidak sepatutnya ia diheret panjang apa lagi dikait-kaitkan dengan masalah di luaran. Apapun baik Zahid dan portal itu harus bersikap profesional dan saling menghormati kerjaya masing-masing. Kejernihan hubungan harus dicari kerana kedua pihak Zahid dan portal itu semuanya bertindak demi kebaikan bersama.

Dari segi profesional dan etika, apa yang didedahkan oleh wartawan berkenaan sebenarnya tidak betul. Perjumpaan Zahid itu adalah majlis personal. Justeru kemasukan wartawan portal itu (bukan jemputan) adalah menceroboh dan mencuri maklumat. Benar, kita mendapat maklumat darinya tetapi sifatnya sebagai mencuri. Jadi tidak sepatutnya apa yang dicuri itu didedahkan kepada umum apa lagi dengan tujuan mengaibkan orang lain. Ia boleh disimpan dan didedahkan pada ketika lain yang bersesuaian. Cara inilah dianggap pro.

Di sinilah kita perlu profesional. Kalau kita tidak dijemput lantas kita mendapat apa-apa yang berlaku dalam majlis personal tidak wajar dilaporkan walaupun ia mempunyai nilai berita. Kita patut tidak hadir bila tidak dijemput. Sebab itu bila Zahid mengetahui wartawan itu wartawan portal berkenaan Zahid herdik. Itu hak Zahid. Hendaknya pihak editor dan penyunting bukan sahaja portal berita berkenaan tetapi yang lain juga lebih bersikap fatanah di dalam hal ini dan tidak melampau dan akhlak hendaklah dijaga.


MOHD SAYUTI OMAR penulis dan pengamat politik.

ADS