Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Idris Haron maafkan Cina Melaka
Diterbitkan:  Dec 6, 2013 1:28 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron bersedia memaafkan pengundi Cina yang tidak menyokong BN di negeri itu pada pilihan raya umum yang lepas.

Menurutnya, sudah tiba masanya masyarakat itu kembali menyokong BN dan bersatu bagi membina masa depan yang lebih cemerlang.

"Kita selalu menuding jari, salahkan satu sama lain apabila persefahaman tak dicapai. Saya bersedia meminta maaf atas segala kesalahan yang mungkin pernah berlaku terutama pada pilihan raya umum ke-13.

"Saya juga bersedia memaafkan kesalahan masyarakat Cina terhadap kerajaan. Saya mahu kita kembali bersatu... satu pemikiran, satu hati dan bersama-sama membina masa depan lebih cemerlang," katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimupunan Agung Umno di Kuala Lumpur, semalam.

Polemik menyalahkan orang Cina bermula pada malam keputusan pilihan raya diumumkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyalahkan peralihan sokongan orang Cina daripada BN sebagai punca utama prestasi BN yang tidak memuaskan.

Senario itu yang dinamakan Najib sebagai 'tsunami Cina' kemudiannya disambut akhbar Utusan Malaysia dengan tajuk muka depan "Apa lagi Cina mahu?" pada 7 Mei 2013.

Di Melaka pula, bekas ketua menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang mencuba nasib bertanding di kerusi Parlimen Bukit Katil turut kalah.

Namun, secara keseluruhannya BN kekal memerintah dengan majoriti mudah 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, BN masih gagal memperolehi majoriti dua pertiga yang hilang selepas pilihan raya umum tahun 2008.

ADS