Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis kesan individu promosi himpunan 31 Dis
Diterbitkan:  Dec 24, 2013 5:42 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Polis sedang mengesan saki baki kumpulan yang mempromosi perhimpunan pada 31 Disember selepas menahan pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN, Azan Safar.

Satu kenyataan dari bahagian komunikasi korporat polis Bukit Aman hari ini menyebut, pasukan itu sedang mengesan individu yang turut terbabit mengajak orang ramai menyertai perhimpunan berkenaan.

NONE Kenyataan itu memetik kenyataan pegawai komunikasi korporat PDRM Supt Lai Lee Cheng yang turut mengesahkan bahawa polis menahan Azan, 24, pada jam 11.30 malam tadi di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Beliau merupakan seorang daripada individu yang telah dikenal pasti memberi ucapan di dalam perhimpunan tanpa notis di Padang Kelab Sultan Sulaiman pada 20 Disember lalu yang boleh memudaratkan sistem demokrasi berparlimen.

“Pihak polis kini sedang giat mengesan beberapa individu lain yang disyaki turut terlibat menghasut orang ramai menghadiri perhimpunan yang dijangka pada hujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuatkan di Facebook.

TURUN sebelum ini telahpun menjelaskan bahawa acara bertemakan ‘2014 Tahun Sengsara Rakyat’ yang dirancang diadakan pada malam 31 Dis itu tiada kena mengena dengan perhimpunan yang dipromosi sebagai Himpunan Guling Kerajaan, juga di Dataran Merdeka.

NONE Azan Safar dalam laporan Malaysiakini pada 18 Disember lalu memberitahu, TURUN tidak akan menyertai apa-apa usaha untuk menggulingkan kerajaan seperti yang dipromosikan oleh Himpunan Guling Kerajaan itu.

“Kalau ada pun gerakan sebegitu, kami tidak akan bersama. Tujuan kita bangun nak bangkitkan amarah rakyat, bukan nak gulingkan kerajaan.

“(Ia) sebagai suatu kuasa pendesak agar kerajaan dengar amaran rakyat dan fikir tentang kos sara hidup rakyat yang makin meningkat dan struktur semula kebajikan rakyat,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Azan berkata demikian ketika ditanya mengenai bahan publisiti mengenai Himpunan Guling Kerajaan yang diterima oleh Malaysiakini , sehari sebelum itu.

Bahan publisiti berkenaan antara lainnya menunjukkan slogan "Gulingkan Kerajaan Umno-BN", "Dataran Merdeka/ Seluruh Pelusuk Malaysia", dan "31 Disember 2013 (Sejarah Bakal Tercipta)".

Tulisan itu terpapar pada latar belakang gambar yang menunjukkan seorang lelaki berbaju kuning dan berlilit kepala kuning dan juga kumpulan peserta perhimpunan di satu kawasan dipercayai pusat bandar Kuala Lumpur.

Bahan publisiti tersebut dikesan tersebar di kalangan satu kumpulan pengguna WhatsApp pada 17 Disember.

Kumpulan pengguna WhatsApp itu antara lainnya dianggotai para wartawan bagi memudahkan penyaluran kenyataan dan maklumat program.

Beberapa NGO dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung acara dengan nama “Himpunan Guling Kerajaan” itu.

ADS