Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Elaun menteri, timbalan dipotong 10 peratus

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Jan.

Tindakan itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun depan, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.

Selain itu, kemudahan tol pegawai kanan kerajaan gred itu juga akan dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau sebanyak 30 peratus, katanya dalam kenyataan dua muka surat itu.

Najib berkata kerajaan juga akan meminda kelayakan Tiket Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi penjawat awam iaitu kelayakan penerbangan sektor domestik bagi Gred Jusa C ke bawah ialah Kelas Ekonomi.

Selain itu, kerajaan juga akan mengurangan lima peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan, selain membekukan permohonan baharu bagi pengubahsuaian ruang pejabat kerajaan.

Perdana menteri berkata kerajaan juga memutuskan untuk mengoptimakan penggunaan ruang pejabat sedia ada bagi mengurangkan sewaan premis pejabat.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga akan mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek-projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan.

Beliau berkata cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.

Kerajaan juga akan mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara atau 'event management' serta pemberian saguhati (door gifts) atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan yang melibatkan anggota pentadbiran dan penjawat awam, katanya.

Najib berkata kerajaan juga akan mengurangkan penyediaan makanan dan minuman serta mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

Kerajaan juga akan mengaplikasi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimakan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan-kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel, katanya.

- Bernama

ADS