Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Petang semalam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyebut peri pentingnya perkenan Sultan dan persetujuan Pakatan Rakyat sebelum beliau dapat digantikan.

Itu dengan sendirinya memberi isyarat bahawa bukan mudah untuk menggantikan menteri besar Selangor ini.

Respon itu juga memberi isyarat bahawa Khalid tidak akan menyerahkan tengkuknya begitu sahaja.

Dua bulan lalu saya dan seorang teman wartawan ada berbincang mengenai masalah Pakatan di Selangor dan saya meramalkan apa yang berlaku ini akhirnya akan memuncak dalam bentuk krisis politik di Selangor pada 1975.

Krisis itu mempunyai beberapa persamaan dengan krisis yang berlaku di Sarawak pada 1966 dan Kelantan pada 1977.

Saya berpendapat politik dan prosedur yang digunakan dalam krisis-krisis itu boleh direnung bagi digunakan semula dalam menangani kerenah menteri besar Selangor ini.

Ketiga-tiga krisis politik itu melibatkan penyingkiran ketua kerajaan negeri; yakni menteri besar di Selangor dan Kelantan dan ketua menteri di Sarawak.

Mirip situasi Kelantan 1977

Dalam ketiga-tiga krisis itu parti yang membentuk kerajaan terpaksa mengemukakan undi tidak percaya bagi menjatuhkan orang mereka sendiri yang enggan bermain mengikut arahan parti.

Kalau orang parti yang diletakkan di dalam kerusi menteri besar itu mengikut arahan sebagaimana Datuk Seri Najib Razak di Pahang atau Datuk Seri Dr Rais Yatim di Negeri Sembilan pendekatan melalui undi tidak percaya itu tidak perlu.

Tetapi itu bukan politik Datuk Harun Idris yang telah memegang jawatan menteri besar Selangor sejak 1964.

Bekas ketua Pemuda Umno ini malah dianggap pencabar Perdana Menteri Tun Razak dan kemudian Datuk Hussein Onn. Senario Khalid di Selangor pada 2014 tidak sama dengan konteks politik Harun Idris pada 1975.

Kedudukan Khalid lebih menyamai kedudukan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Nasir pada 1977 yang tidak begitu mendengar arahan partinya PAS. Khalid juga ada persamaan dengan Datuk Stephen Kalong Ningkan yang cuba mentadbirkan Sarawak dengan caranya sendiri; sesuatu yang tidak digemari oleh perdana menteri Tunku Abdul Rahman.

Apa pun ketiga-tiga ketua kerajaan negeri itu terpaksa disingkirkan secara terbuka, tidak melalui saluran parti.

Tidak mustahil krisis yang mula kelihatan di Selangor ini akhirnya akan diselesaikan melalui jalan itu.

Budi bicara sultan

Pada saya jalan yang disebut oleh perlembagaan ini adalah prosedur yang paling baik untuk mencegah campur tangan pihak-pihak tertentu khususnya istana untuk menentukan siapa yang akan mengetuai kerajaan negeri.

Berbalik kepada kenyataan Khalid tadi saya fikir apa yang perlu diulas ialah perkenan Sultan sebagaimana yang beliau sebutkan.

Di sisi perlembagaan, peranan sultan – sama seperti Yang di-Pertuan Agong atau Yang di-Pertua Negeri – sebenarnya tidak ada. Apa yang disebut budi bicara melantik itu sebenarnya hanya relevan sekiranya tidak jelas siapa calonnya.

Sekiranya parti atau parti-parti yang ada dalam dewan itu sepakat menamakan seseorang maka sebenarnya istana tidak ada pilihan. Apa yang berlaku selama ini di mana istana meminta dua atau tiga nama adalah satu perbuatan campur tangan yang tidak asas dalam perlembagaan.

Gejala seperti itu adalah cubaan untuk menyalahgunakan kuasa. Saya mengatakan kuasa budi bicara itu tidak mutlak kerana falsafah di sebalik kuasa budi bicara melantik itu ialah konsep kerajaan bertanggungjawab ( responsible government ).

Jika istana tahu maksud konsep ini mereka sendiri akan takut untuk cuba menggunakan pengaruh dalam pelantikan ketua kerajaan.

Pada faham saya, sekatan perlembagaan yang relevan ialah sokongan Pakatan. Sekiranya ini dapat dijamin saya fikir Khalid boleh digantikan dengan mudah.

Apabila dispekulasikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dicalonkan sebagai menteri besar baru, ada pihak-pihak yang meremehkan.

A nak Selangor bukan syarat MB

Apa pun tanggapan mereka bagi saya ini tidak salah dan boleh berlaku. Undang-undang Tubuh Negeri Selangor hanya meletakkan syarat – selain sokongan majoriti dalam DUN – Melayu dan Islam.

Tidak perlu bahawa calon menteri besar itu orang Selangor atau lahir di Selangor. Dan saya fikir Anwar sahaja mempunyai aura dan kekuatan untuk mengenepikan Khalid. Calon lain belum tentu.

Ada yang kata Anwar bukan ADUN. Ini bukan masalah. Kerusi DUN Kajang sudah dikosongkan. Anwar boleh bertanding di situ.

Kita tentunya masih ingat bagaimana Datuk Seri Abu Hassan Omar disebut menjadi menteri besar ketika beliau masih berada dalam kabinet persekutuan selepas Tan Sri Muhammad Muhd Taib terpaksa meletakkan jawatan menteri besar pada 1997.

Apa yang berlaku selepas itu ialah kerusi DUN di bawah parlimen Kuala Selangor dikosongkan dan Abu Hassan bertanding di situ.

Dalam senario sekarang langkah pertama sudah bermula apabila DUN Kajang dikosongkan. Apa yang akan berlaku selepas ini kita sama-sama tunggu. Apa pun pilihannya tidak sukar.

Pakatan boleh teliti apa yang dipaparkan tadi. Perlu saya sebutkan bahawa Anwar boleh terus memegang kerusi parlimen Permatang Pauh dan meneruskan kedudukan sebagai ketua pembangkang di parlimen.


DR ABDUL AZIZ BARI bekas profesor undang-undang UIAM yang kini bertugas di Unisel. Beliau juga felo kanan IDEAS, badan pemikir bebas, dan Penang Institute yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pulau Pinang. Beliau calon PKR untuk parlimen Sabak Bernam dalam pilihan raya umum lalu.

ADS