Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda PAS Pusat mempertegaskan bahawa sayap kanan parti itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon PKR mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil kawasan itu yang bakal diumumkan 5 Februari ini.

Bagaimanapun, Ketua Pemudanya Suhaizan Kaiat berkata pendirian mereka itu "tidak bermakna Pemuda PAS bersetuju beliau menjadi menteri besar Selangor".

"Polemik Kajang ini tidak perlu mengheret Pakatan Rakyat membincangkan isu menteri besar Selangor yang baru.

"Pemuda PAS mendesak agar isu menteri besar dihentikan segera kerana rakyat Malaysia sudah muak dengan polemik politik yang tidak berkesudahan," katanya dalam sidang medianya pagi ini.

 Suhaizan berkata pihaknya kesal terhadap tindakan mengosongkan kerusi DUN itu yang dilaksanakan secara "tergesa-gesa, membazir masa dan duit rakyat".

"Ia juga mendedahkan Pakatan Rakyat kepada risiko kemerosotan sokongan rakyat.

"Bagaimanapun kita menghormati muafakat Pakatan Rakyat yang memberi hak mengurus DUN kepada parti yang menang dalam pilihan raya lepas.

"Justeru, Pemuda PAS mendesak agar mana-mana komponen Pakatan tidak mengulang kesilapan serupa, pada masa akan datang," katanya.

Mengulas lanjut, sekiranya berlaku pertandingan di kerusi tersebut, Suhaizan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pilihan raya bersih, adil dan saksama.

"Mana-mana pihak yang bertanding hendaklah mengelakkan pembaziran berlaku.

"Kerajaan pusat dan negeri Selangor perlu mengelakkan projek-projek 'mee segera' yang akan mengorbankan wang rakyat.

"Rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barang akan menghukum mana-mana pihak yang dilihat membazir," katanya.

Dalam sidang media itu juga, Suhaizan mengumumkan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda Selangor Hairul Nizam Tohar sebagai ketua penyelaras pilihan raya kecil DUN tersebut.

Ditanya mengenai Pemuda PAS Selangor yang mengancam untuk memboikot pilihan raya kecil itu, Suhaizan berkata pihaknya meraikan semua pandangan yang dibangkitkan termasuk sebahagian anggota Pemuda PAS dan suara anak muda dalam media yang meluahkan rasa tidak puas hati berhubung perkara itu.

"Tapi semua pandangan itu adalah pandangan peribadi. Kita rai kepelbagaian pandangan. Tapi itu bukan keputusan.

"Keputusan (rasmi) adalah daripada PAS dan diiringi dengan keputusan Lajnah Politik (Pemuda).

"Kita tak setuju pembaziran, dan kita juga tak setuju memberi kemenangan percuma kepada BN," katanya.

ADS