Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu jentera Pemuda BN "birukan Kajang" dengan memastikan kemenangan calon BN Chew Mei Fun pada pilihan raya kecil DUN Kajang 23 Mac ini.

Menurutnya lagi, walaupun jentera Pemuda di semua 16 Pusat Daerah Mengundi di kawasan itu perlu menyusun gerak kerja, semangat dan kerja keras perlu ditingkatkan demi menarik hati pengundi di Kajang.

"Pengundi adalah raja atau penentu masa depan sama sebuah parti menang atau kalah... Kita perlu bekerja keras. Tak boleh tidur sehingga 23 Mac ini, boleh?" katanya sambil disambut "boleh" oleh kira-kira 700 Pemuda BN di Kajang hari ini.

"Mereka akan membuat serangan dan tuduhan melulu kepada pimpinan kita. Tidak cukup kita pertahankan, malah kita serang. Mereka buat masalah," katanya sambil diiringi laungan "Hidup BN".

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Jentera Pemuda BN di Taman Saujana Impian petang ini.

Birukan Kajang

Menurutnya lagi, umum mengetahui pilihan raya tersebut tidak dikehendaki oleh rakyat Kajang, tetapi diadakan kerana kerakusan kuasa politik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi hari ini beliau tidak menjadi calon. Kita mengetahui PKR adalah parti anak beranak, dia tidak jadi calon, dia letak isterinya.

"Tetapi kita tak kira siapa pun, Anwar atau sesiapa, BN akan tentang mereka dan Insya-Allah akan mencapai kemenangan," kata Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri.

Sehubungan itu, beliau menggesa jentera Pemuda BN turun padang 'berjihad' memberi penjelasan kepada rakyat termasuk anak muda berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh pembangkang.

"Gerakan kita perlu berterusan. Kita perlu ada koordinasi. Adakan hubungan rapat (komunikasi) antara parti komponen BN.

"Semangat yang ada harus dibakar. Kita birukan Kajang," katanya sambil disambut laungan bersemangat " Hidup BN".

Beliau juga meminta jentera Pemuda BN tidak mengabaikan pengundi dan memastikan mereka mengundi Chew yang juga naib presiden MCA pada pilihan raya 23 depan.

ADS