Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ceramah Pakatan Rakyat di Stadium Kajang semalam menampilkan lima penyanyi rock tahun 90-an sebagai daya tarikan utama pengunjung.

Bertindak sebagai pengacara majlis dan pembuka acara tidak lain dan tidak bukan adalah Blank dari kumpulan Gamma atau nama sebenarnya Rusli Mohd Shariff.

Blank yang kini berusia 59 tahun dan merupakan seorang ketua kampung di Batu Arang, Selangor menghiburkan pendengar ceramah dengan lagu popular Gamma iaitu 'Kembang Terhalang'.

Persembahan malam tadi yang bermula sekitar jam 10.30 kemudian diteruskan oleh Ayie dari kumpulan Leon yang mendendangkan lagu popular Leon 'Saling Merindu'.

Ayie mencuri perhatian kira-kira 500 pendengar ceramah apabila tampil berambut panjang dengan memakai jaket kulit, serta seluar jeans ketat dan singlet celoreng - saling tak tumpah seperti gayanya sewaktu zaman kegemilangan mereka pada tahun 90-an.

Sekitar jam 11.00 malam, pentas ceramah 'dipulangkan' semula kepada ahli politik.

Exco Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim tampil berceramah bersama MP Gopeng, Dr Lee Boon Chye dan ADUN Salor dari Kelantan, Datuk Husam Musa.

'Penawar' undi Kak Wan

Husam dalam ceramahnya menggesa agar pengundi Kajang mengundi calon Pakatan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,  sebagai 'ubat' kepada 'ketidakadilan' dalam keputusan Liwat II.

"Kalau anda mengundi Kak Wan (nama mesra Wan Aziah), itu kan satu penawar, satu ubat untuk kita semua," katanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diputuskan bersalah meliwat bekas pembantunya dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun jika rayuannya gagal kelak.

Keputusan itu menghalang beliau daripada bertanding di Kajang bagi memberi laluan untuk beliau menjadi menteri besar Selangor.

Turut bercakap pada ceramah malam tadi adalah ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng MP Batu serta bekas MP, Datuk Tamrin Ghafar Baba.

Ceramah kemudian ditutup dengan kemunculan tiga lagi penyanyi rock 90-an - Isa dari kumpulan Handy Black, Yazid dari kumpulan Sejati, dan Isa dari kumpulan Graviti.

Ceramah pada malam tadi diadakan pada tapak sama dengan Karnival Selangorku anjuran kerajaan negeri Selangor.

Berbagai gerai jualan dan acara  dibuka di dalam stadium bermula pada 7 Mac lalu sehingga 22 Mac ini.

ADS