Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga: Tak temu serpihan, cuma imej satelit

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 itu yang berakhir di selatan Lautan Hindi mendapat reaksi berbeza daripada keluarga serta waris mereka.

    

Rata-rata mereka sukar menerima berita sedih itu dan percaya selagi tiada bukti kukuh ditemui seperti serpihan pesawat, anggota keluarga pesawat malang itu masih menaruh harapan agar orang yang mereka sayangi selamat.

    

Namun begitu sebahagian lagi tetap reda dan menerima kesudahan pencarian selama 17 hari, sejak pesawat itu dilaporkan hilang pada 8 Mac sebagai ketentuan Ilahi.

    

Di ALOR SETAR , Tan Tuan Lay, 53, ibu kepada seorang penumpang iaitu Chew Kar Mooi, 31, berkata dia sekeluarga terkejut selepas mendengar pengumuman itu.

    

"Semua sedih sangat dan tidak dapat terima kenyataan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat Kerpan, Ayer Hitam dekat Alor Setar hari ini.

Tan berkata beliau terima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada pihak MAS pada 9.42 malam tadi, menyuruh mereka menonton di televisyen pengumuman Perdana Menteri.

    

Ibu kepada pegawai Maybank di Kuala Lumpur itu berkata selagi tidak menemui sebarang bukti yang sahih beliau sekeluarga masih menaruh harapan anaknya akan pulang ke sisi keluarga.

    

"Tak ada penemuan objek yang berkaitan dengan pesawat. Ia daripada imej satelit sahaja. Kami masih menaruh harapan untuk jumpa dia (Chew) dengan selamat," katanya.

    

Tinjauan Bernama ke rumah keluarga pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Mohamad Sofuan Ibrahim, 33, di Jalan Kota Tanah, pula mendapati kediaman itu tidak berpenghuni.

    

Bertolak ke KL

Seorang jiran keluarga itu, Mohd Huzaimi Ahmad Shater, 21, berkata ibu bapa Mohamad Sofuan dikatakan bertolak ke Kuala Lumpur kira-kira 10 malam tadi setelah mendapat maklumat terbaru mengenai pesawat dinaiki anak mereka.

Di JITRA , abang kepada seorang lagi penumpang, Andrew Jee, 42, berkata keluarganya tidak akan ke Kuala Lumpur dan akan menunggu di rumah mereka di Taman Rasa Sayang, Jitra sehingga maklumat tepat diterima.

    

Andrew berkata jika anggota keluarganya diminta ke Australia, hanya ibunya Tan Giat Gua, 68, yang diiringi seorang bapa saudaranya ke negara itu.

    

Beliau berkata adiknya Jee Jing Hang, 41, yang mempunyai dua anak berumur 11 dan 13 tahun itu bekerja sebagai pengatur cara komputer serta memiliki syarikat sendiri di Seremban, Negeri Sembilan.

    

"Sampai sekarang anak-anak dia (mangsa) yang tinggal dengan bekas isterinya tidak tahu mengenai kejadian yang menimpa bapanya kerana tidak mahu mengganggu emosi mereka," katanya.

    

DI IPOH , ibu mentua kepada Ketua Pramugari MH370, Goh Sock Lay menganggap menantunya itu masih hidup dan akan pulang dengan selamat selagi bangkai pesawat itu belum ditemui.

Pong Sai Mooi, 73, berkata berharap berita yang diumumkan Perdana Menteri malam tadi tiada kaitan dengan pesawat terbabit.

    

"Selagi tak jumpa bangkai kapal terbang itu saya anggap dia (Goh) masih hidup. Saya sentiasa berdoa pada Tuhan dia akan pulang dengan selamat," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui pemberita hari ini.

    

Katanya Goh merupakan seorang menantu yang baik serta rajin memasak dan kali terakhir mereka bertemu sebelum pramugari itu berangkat ke Beijing, China.

    

Tak sampai hati

Sebaliknya, Choi Tat Sang, 75, bapa mentua Goh berkata sekiranya berita sedih yang dimaklumkan malam tadi adalah benar, beliau menerimanya dengan reda.

    

Beliau berkata anak Goh yang kini bercuti bersama rakannya di Pulau Pinang sejak Ahad lepas, merasa sangat sedih selepas menerima berita itu malam tadi.

    

"Saya dapat tahu berita itu pukul 9 malam melalui anak saya (Choi Loong Chow, suami Goh) tetapi saya tidak sampai hati untuk beritahu isteri dan cucu saya (anak Goh) tetapi Choi sendiri menelefon dan memberitahu isteri dan cucu saya mengenai perkara itu," katanya.

Di KUALA LANGAT , ibu kepada pengurus pengeluaran Syarikat Freescale Semiconductor di Petaling Jaya, Muzi Yusop, hanya mampu mengungkapkan perkataan 'reda' berhubung tragedi itu.

    

Biarpun tiada lagi air mata yang mampu dititiskan, namun Semah Sidik, 70, menerima berita semalam dengan tenang dan menganggap ia sudah ditentukan Ilahi.

    

"Kita reda aja lah. Walaupun malam tadi masa nak dengar pengumuman itu, saya dan suami berdebar-debar namun apa yang mampu kami lakukan, hanya reda dan terima ketentuan-Nya," kata warga emas itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jenjarom hari ini.

    

Muzi, 50, adalah antara 227 penumpang penerbangan MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas dan beliau ke negara itu untuk mengikuti kursus selama sebulan.

    

Bapa Muzi, Yusop Tahir, 76, ketika ditemui dilihat tertunduk menangis kerana tidak mampu menahan sebak tatkala diceritakan mengenai tragedi pesawat itu oleh abang iparnya, Iskandar Sidik.

    

Kedua-dua warga emas itu menganggap kehilangan anak sulung mereka tiada galang gantinya dan hanya berkat doa serta bacaan surah Yasin sejak hari pertama menerima berita itu diharap dapat mensejahterakan pemergian Muzi buat selamanya.

Tak akan ke Australia

Sementara itu, bapa seorang lagi penumpang pesawat itu, G Subramaniam, 60, berkata beliau tidak akan ke Australia sekiranya ada cadangan dari mana-mana pihak untuk berbuat demikian melainkan dapat melihat anaknya di sana.

    

Beliau yang terlalu sedih dengan tragedi itu tidak mampu mengulas lanjut ketika ditemui media di rumahnya di Taman Dato Hormat kerana kehilangan anak sulungnya, S Puspanathan.

    

"Dia satu saja anak lelaki yang kami ada, sekarang dia sudah tiada jadi kami sudah tidak tahu nak buat apa. Nak pergi Australia pun buat apa, kalau boleh jumpa anak saya, mana pun saya sanggup pergi," katanya.

    

Subramaniam yang pernah bekerja sebagai penoreh getah turut menyifatkan anaknya seorang yang gigih kerana sanggup bekerja keras untuk memperbaiki taraf hidup mereka.   

    

Isteri beliau, Puspanathan, A Amirtham, 60, dilihat hanya menangis ketika menonton berita di televisyen sambil ditenangkan saudara-mara terdekat.

Puspanathan, 34, seorang pengurus pemasaran di sebuah syarikat minyak dan gas di sini menaiki pesawat itu ke Beijing atas urusan kerja.

    

Jiran pembantu juruterbang MH370, Shafiq Samsi, 27, ketika ditemui berkata keluarga Fariq Abd Hamid sudah lebih seminggu tidak pulang ke rumah mereka di Seksyen 7 di Shah Alam berikutan khuatir diganggu media.

    

Shafiq berkata pengumuman mengenai tragedi yang menimpa pesawat itu semalam amat menyedihkan dan walaupun tidak mengenali Fariq secara lebih dekat, namun beliau sentiasa berdoa dan memberi semangat kepada keluarga berkenaan.

    

Di BERA, Normah Jaafar, ibu kepada seorang daripada penumpang pesawat itu, Khairul Amri Selamat masih terngiang-ngiang kata-kata anaknya: "Mama, adik nak pegi dulu," sebelum menaiki pesawat malang itu.

    

'Mama rindu adik'

Normah, 56, merasakan ucapan terakhir anaknya itu seolah-olah petanda untuknya supaya bersedia berpisah di dunia dengan anak bongsunya yang dipanggil 'adik' itu.

"Kak Nor masih ralat dengan kata-kata adik itu, biasanya kami berborak lama, sekurang-kurangnya satu jam sebelum dia pergi ke mana-mana tetapi hari itu (8 Mac) lain sangat.

    

"Mama rindu sangat pada adik. Dia baik, ceria dan tidak pernah sakiti hati kak Nor," kata ibu tunggal itu yang tenggelam dalam air mata sambil ditenangkan beberapa rakan dan anggota keluarga ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Kerayong Makmur hari ini.

      

Khairul Amri, 29, jurutera penerbangan, menaiki pesawat itu ke Beijing untuk menjalankan tugas membaiki sebuah pesawat syarikat penerbangan di sana.

    

Normah berkata dia pengsan dua kali selepas mendengar pengumuman itu malam tadi dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Triang.

      

"Kak Nor tidak sangka begini pengakhiran kejadian ini selepas menanti dengan penuh harapan selama 17 hari, berita malam tadi betul-betul mengejutkan.

      

"Kak Nor tidak makan sejak balik dari Hotel Everly, Putrajaya pada Khamis lepas dan hanya minum air saja kerana terlalu sedih ingatkan anak, sebab itu badan jadi lemah," katanya.

Normah juga sudah bersedia sekiranya diarahkan oleh pihak MAS ke lokasi pesawat terhempas.

    

"Kak Nor berharap sangat dapat pergi ke lokasi kapal terbang terhempas, Kak Nor sedang menunggu panggilan daripada MAS selepas semua proses mengesan oleh pihak berkuasa selesai," katanya.

Tak dapat terima  

Di GEORGETOWN, Guan Kak Hueng, 69, bapa kepada seorang penumpang, Guan Hua Jin, 34, yang tinggal di Bayan Lepas, berlepas ke Kuala Lumpur pagi ini untuk mengetahui lebih lanjut tragedi yang menimpa pesawat itu.

    

"Kami sekeluarga sedih dan masih belum dapat menerima pengumuman itu, sekarang saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mengetahui lebih lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

    

Beliau yang merupakan seorang tukang jam di George Town enggan mengulas lanjut dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak.

    

Hua Jin, yang merupakan ibu kepada dua anak berusia satu dan empat tahun berlepas ke Beijing bagi menyertai kursus selama tiga minggu yang diatur syarikatnya.

Sementara itu, Jalil Saat, 54, rakan kepada Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, berkata sejak hari pertama kehilangan pesawat malang itu beliau dan bekas pelajar Sekolah Penang Free (PFS), tidak putus berkongsi maklumat mengenai apa yang berlaku.

    

"Walaupun bukan adik-beradik kami umpama saudara, malah semua bekas pelajar Sekolah Penang Free (PFS) merasa sedih dengan apa yang menimpa Zaharie, anak kapal dan penumpang pesawat itu dan berdoa supaya semua mangsa ditemui dengan selamat," katanya di sini hari ini.

    

Jalil yang juga pengetua PFS berkata pihak sekolah bercadang untuk membuat solat ghaib dan mengatur majlis khas bagi mendoakan keselamatan Zaharie dan kesemua individu yang berada di dalam pesawat malang itu.

    

Di KUCHING , di sebalik kemeriahan sambutan Hari Polis ke-207 peringkat IPD Kuching pagi tadi, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad tidak dapat menyembunyikan kesedihan mengenang nasib anak saudaranya Suhaili Mustafa, 31, penumpang pesawat malang itu.

    

Suhaili, jurutera di Freescale Semiconductor bersama 19 lagi rakan sekerja, 12 orang adalah rakyat Malaysia dan lapan lagi dari China menaiki pesawat itu ke Beijing atas urusan kerja.

'Anakanda Suhaili'

Nukilan "Anakandaku Suhaili, Allah lebih menyayangimu, kami sekeluarga menerima berita ini sebagai ketentuan Ilahi" pada kain rentang khas MH370 yang disediakan sebagai antara pengisian program sambutan, menggambarkan kesedihan yang dialami mereka sekeluarga namun reda dengan apa yang berlaku.

    

Roslan berkata pengumuman malam tadi juga amat sukar diterima namun mereka sekeluarga reda dengan berita sedih itu.

    

"Saya dan seluruh anggota keluarga reda dengan ketetapan Allah walaupun jauh di sudut hati kami terlalu sukar untuk menerima kebenaran berita itu namun sebagai hamba Allah, kami tidak dapat menolak apa juga yang sudah tertulis.

    

"Kakak saya, Rohani Ahmad (ibu Suhaili) dengan ditemani beberapa anggota keluarga saya yang lain akan terbang ke Perth, Australia dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita.

    

Beliau berkata dia tidak akan menyertai kakaknya ke Perth namun tidak menolak akan pergi kemudian jika ada perkembangan terbaharu mengenai pesawat itu.

    

Terdahulu dalam ucapan sambutan itu, Roslan Bek turut melahirkan rasa terharu dan simpati ke atas tragedi yang menimpa pesawat itu dan merakam ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa.

    

Pesawat Boeing 777-200ER, dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

-Bernama

ADS