Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Interpol: Hanya 0.2 saat semak pasport curi
Diterbitkan:  Mar 29, 2014 9:45 AM
Dikemaskini: 2:03 AM

HARI 22 MH370 Maklumat terbaru dan liputan terkini ketika operasi mencari pesawat MH370 diteruskan.

Hari ini menandakan tiga minggu sejak pesawat MH370 Malaysia Airlines hilang selepas secara misterinya beralih haluan penerbangan ke Lautan Hindi dari destinasi asalnya ke Beijing.

Semalam, dengan maklumat terbaru, pasukan yang diketuai Australia dalam mencari pesawat Boeing 777-200ER itu beralih dari tapak asalnya ke kawasan 1,100 kilometer di timur laut.

Pasukan pelbagai negara itu yang menggunakan sepuluh pesawat dan enam kapal laut, dijangka tiba hari ini. Satelit juga sedang dihala ke kawasan baru itu.

Lima pesawat melaporkan mengesan objek yang mencurigakan terapung di lautan, dan kapal peronda Pentadbiran Maritim China - Haixun 01 - telah ditugaskan untuk mencari dan mengutipnya.

Pencari mempunyai sehingga kira-kira 8 April sebelum bateri pada beacon bawah air MH370 tamat tempohnya, selepas itu, usaha mencari kotak hitam pesawat tersebut akan menjadi lebih sukar.

Pemeriksaan pasport tidak 'terlalu rumit'

5.30 pagi: Reuters - Agensi polis antarabangsa, Interpol, semalam menolak tanggapan Malaysia bahawa pangkalan datanya untuk menyemak pasport adalah terlalu rumit.

Interpol berkata walaupun beberapa negara lain menggunakan pangkalan data itu berjuta kali setiap tahun, tetapi Jabatan Imigresen Malaysia tidak memeriksa pasport penumpang pesawat dengan pangkalan data agensi itu sepanjang tahun ini sebelum kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac.

Kenyataan agensi itu dibuat ekoran komen Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi di Parlimen Rabu lalu bahawa bebanan pangkalan data Interpol memperlahan pemeriksaan imigresen.

Zahid berkata pangkalan data Interpol yang mengandungi data kehilangan 40.2 juta pasport adalah "terlalu besar" dan akan menjejaskan sistem pengurusan pangkalan data Malaysia.

Akhbar Malay Mail Online memetik Zahid sebagai berkata tambahan pula, maklumat Interpol mengenai pasport yang hilang, boleh melambatkan proses pemeriksaan imigresen di kaunter.

Interpol, yang berpangkalan di Lyon, Perancis berkata, ia hanya mengambil masa 0.2 saat untuk pangkalan datanya mendedahkan kepada pihak berkuasa sama ada pasport disenaraikan sebagai dicuri. Tidak ada negara lain yang pernah mengadu proses itu terlalu perlahan, katanya.

"Keputusan Malaysia tidak merujuk kepada pangkalan data Dokumen Perjalanan Hilang (SLTD) Interpol sebelum membenarkan pelancong memasuki negara atau menaiki pesawat, tidak boleh dipertahankan dengan menyalahkan teknologi atau Interpol. Jika ada sebarang tanggungjawab atau untuk dipersalahkan atas kegagalan ini, ianya adalah Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Dua penumpang yang menggunakan pasport Austria dan Itali yang dicuri dapat menaiki pesawat tersebut yang hilang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac.

[Baca berita penuh]

ADS