Selepas empat hari “berdiam diri” tanpa sebarang kenyataan berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim hari ini memberikan bayangan tentang kemungkinan ada perkembangan penting esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh itu dikatakan akan menghadap Yang di- Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di Seremban, esok.

“Jumpa esok, empat hari tak dapat cari saya, esok cari saya…saya okay, sihat, Alhamdulillah. Terima kasih,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan terkini mengenai kemelut pentadbiran negeri itu.

Bagaimanapun, Ismail tidak memperincikan maksud kenyataan ringkas beliau itu.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Zakat Negeri Sembilan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Mohd Zafir Ibrahim dan Pegawai Kewangan Negeri Masri Razali.

Isnin lepas, Ismail, 67, dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos lepas.

Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pada hari yang sama, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut melanda negeri itu, dengan sesi menghadap berlangsung dari kira-kira 5 petang hingga 6.30 petang.

- Bernama