Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kolej ambil pensyarah tanpa permit mengajar
Diterbitkan:  Apr 8, 2014 7:00 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Usaha Tarbiah (Pulau Pinang) Sdn Bhd (UTSB), anak syarikat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang menubuhkan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB), diberikan penarafan "kurang memuaskan" oleh ketua audit negara bagi pengurusan aktivitinya.

Dalam siri pertama laporan untuk 2013 ini, ketua audit negara mendapati UTSB mengambil pensyarah tanpa permit mengajar untuk bekerja dengan mereka.

Selain itu, tiga daripada lima program diplomanya hanya diberikan penarafan sementara oleh Agensi Kelayakan Malaysia manakala tiga program ijazahnya tiada sebarang kelayakan daripada agensi itu.

Laporan itu juga mendedahkan sehingga kini hanya 27 pelajar yang merupakan 25 peratus daripada 258 orang yang mendaftar di institusi itu tamat pengajian dalam jangka masa minimum tujuh semester.

Selebihnya menamatkan pengajian di antara tempoh lapan sehingga 14 semester.

Laporan itu juga mendedahkan terdapat peningkatan dalam tunggakan yuran kerana tiada usaha untuk mengutipnya dilakukan UTSB.

Laporan tersebut mencadangkan agar tatacara operasi standard diwujudkan supaya operasi syarikat itu berjalan dengan lebih lancar.

Ia juga mencadangkan agar pemantauan dilakukan terhadap operasi KITAB bagi memastikan ia memenuhi syarat-syarat Kementerian Pendidikan dan Agensi Kelayakan Malaysia.

Selain itu, ia juga menggesa agar kaedah berkesan digunakan untuk mengutip yuran tertunggak.

ADS