Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Seman hairan Mkini lapor tulisannya
Diterbitkan:  Apr 13, 2014 12:38 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Seorang editor Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussein berkata beliau hairan dengan laporan Malaysiakini ke atas tulisannya 6 April lalu berhubung teori mengaitkan krisis pesawat MH370 dengan rancangan agensi risikan Amerika Syarikat.

Ku Seman dalam rencananya di Mingguan Malaysia hari ini juga berkata beliau tidak berasa bangga dengan laporan Malaysiakini ke atas tulisannya, berhubung dakwaan mengenai rancangan AS untuk mengeruhkan hubungan Malaysia dan China itu.

Tanpa mempertahankan fakta dalam tulisan asalnya itu, beliau seterusnya mengambil peluang dalam siaran hari ini untuk mempersoalkan “kewartawan adil” Malaysiakini dan tujuan liputan ke atas tulisannya.

“Walaupun Malaysiakini memberikan perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap tulisan saya, tetapi ini bukan sesuatu yang membanggakan.

“Sebaliknya ini sesuatu yang pelik. Malaysiakini yang kononnya mendukung kewartawanan yang adil kerap pula memetik tulisan oleh wartawan yang tidak adil.

“Saya tertanya-tanya apakah untungnya Malaysiakini mempopularkan kewartawanan yang bertentangan dengan idealisme mereka?,” katanya dalam tulisan disiarkan hari ini.

Beliau seterusnya menggelar Malaysiakini sebagai sebuah portal berita yang berlandaskan tahap pemikiran yang rendah dan didakwa memberikan keuntungan politik kepada pihak tertentu.

"Saya berani katakan bahawa tahap pemikiran mereka bukan sahaja rendah tetapi kotor. Bagaimanapun atas nama kebebasan bersuara dan keadilan yang dilambakkan di pasar politik, Malaysiakini menyiarkan isi pemikiran yang kotor," katanya.

Tanpa merujuk kepada mana-mana tulisan khusus, beliau juga mempersoalkan tapisan Malaysiakini ke atas komen pembaca yang menurutnya mengandungi kata-kata kesat.

“Kenapa pentas forum itu hanya disertai oleh satu golongan sahaja iaitu yang berfikiran kotor dan penentang kerajaan? Mana pembaca lain yang lebih tinggi, bersih dan waras fikirannya?

“Tidak ada elemn periksa dan imbang, yang ada hanya cerca dan makin hamun. Banyak mempersoalkan adakah Malaysiakini menapis hanya komen yang memaki hamun sahaja disiarkan?

“Saya sekali lagi bersangka baik bahawa Malaysiakini yang bersikap adil dan tidak melakukan kerja kotor memanipulasikan komen itu,” katanya.

Katanya, beliau juga berasa terhina kerananya namanya disebut dalam laporan Malaysiakini kerana akhbar Utusan mempunyai pengikut “lebih bermutu”.

“Utusan sama sekali tidak memerlukan pengikut yang seperti pembahas di Malaysiakini . Maaflah kerana Utusan bukanlah jentera propaganda yang membutakan pemikiran rakyat dengan menjaja kewartawan adil yang palsu.

“Sebab itulah saya rasa terhina apabila nama disebut dalam Malaysiakini,” katanya.

Utusan menggiatkan semula serangan ke atas Malaysiakini , susulan dari laporan ke atas tulisannya bertarikh 6 April itu, dengan tuduhan bahawa portal berita ini mengeluarkan berita tidak beretika dan mengamalkan “kewartawanan zaman batu”.

Tanpa merujuk kepada mana-mana laporan khusus, rencana tulisan seorang editornya Zulkiflee Bakar pada 9 April mendakwa Malaysiakini berpura-pura menyiarkan laporan seimbang.

Beliau juga mendakwa Malaysiakini mengamalkan kewartawanan songsang dan menyiarkan perkara yang didakwa menjejas keharmonian kaum dan agama.

ADS