Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penerbangan Malaysia Airlines yang menuju ke Bangalore, India, hari ini berpatah balik selepas mengalami kerosakan gear dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
 
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui Twitternya berkata penerbangan itu membuat pendaratan cemas pada pukul 1.56 pagI dan semua penumpang serta anak kapal selamat.
 
Beliau dalam perjalanan ke KLIA.
 
Pengurus Penyelidikan Van Diemen John, 40-an, berkata juruterbang pesawat MH192 itu amat profesional ketika mengendalikan pendaratan.
 
"Juruterbang itu begitu tenang ketika beliau mengumumkan bahawa kami terpaksa berpatah balik ke KLIA tetapi perlu menghabiskan sebahagian minyak dahulu.
 
"Kami berlegar-legar di Selat Melaka dan Kuala Lumpur. Beberapa jam kemudian kami mendarat dengan selamat.
 
"Beliau memberikan arahan dengan jelas. Beliau amat profesional dan melakukannya dengan baik," kata John yang terbang dari Shanghai untuk ke Bangalore berjumpa dengan pasukan penyelidiknya.
 
Sementara itu, seorang lagi penumpang dari Pulau Pinang yang enggan dinamakan berkata pendaratan kecemasan itu dikendalikan dengan baik.
 
"Juruterbang dan anak kapal mengikut prosedur dengan betul. Ia dikendalikan dengan baik dan saya tidak panik," katannya sambil menambah, beliau tidak memberitahu keluarganya mengenai insiden itu.
 
Sementara itu warga Australia Miranda Jason Juse, 30, berkata disebabkan  jurutebang dan anak-anak kapal bertindak secara profesional, semua penumpang berasa tenang semasa empat jam terbang, berlegar-legar di udara Selat Melaka.
 
"Juruterbang melakukan yang terbaik untuk mendarat dengan selamat dan pesawat itu mendarat lembut dan lancar. Keadaan di dalam pesawat pun tenang sebaik kami selamat mendarat," katanya.
 
Semua penumpang agak keletihan selepas melalui pengalaman cemas itu tetapi mereka masih mampu memberikan senyuman kepada para pemberita sebagai menyatakan terima kasih kepada dunia yang mereka mendarat dalam keadaan selamat.
 
- Bernama

ADS