Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis teliti video, gambar individu pukul pengamal media

Polis Kuala Lumpur sedang meneliti rakaman video dan gambar perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) pada Khamis lepas bagi mengenal pasti individu yang memukul pengamal media.

    

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara pada hari yang sama setelah diserang oleh sekumpulan individu dikatakan peserta perhimpunan.

    

"Pengamal media dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu, diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu sisatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

    

Beliau berkata, polis akan mengedar gambar individu yang terlibat dalam pergaduhan itu di media dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

    

Dalam kejadian Khamis lepas, sekumpulan individu yang menyertai perhimpunan membantah CBP di Dataran Merdeka bertindak mengasari petugas media yang membuat liputan sehingga ia mencetuskan kekecohan.

Terdahulu, Mohmad turut menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh yang digantikan oleh Datuk Law Hong Soon.

    

Amar Singh dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, (Siasatan dan Perundangan) di Bukit Aman manakala Law sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak selama enam tahun.

    

Law yang telah berkhidmat selama 36 tahun mempunyai pengalaman luas dalam mengendali kes jenayah.

    

-Bernama

ADS