Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said ketika dihubungi Malaysiakini awal pagi ini mengesahkan beliau bersama ADUN Ajil Ghazali Taib mengisytihar keluar Umno dan menjadi ADUN Bebas.

Ahmad yang juga ADUN Kijal berkata beliau telah memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menangguhkan pertukarannya selepas majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini.

"Saya sudah lama bekerja dengan Umno. Saya sudah beritahu PM bahawa anak saya kenduri kahwin pada 17 Mei dan tukar selesai selesai kenduri.

"PM kata itu soal peribadi. Jadi saya beritahu, kalau saya keluar (parti), jangan salahkan saya," katanya bagi menjawab soalan mengapa beliau bertindak keluar daripada Umno dan menjadi ADUN Bebas.

Ditanya mengapa mengheret soal perkahwinan anaknya sehingga berbuat demikian, Ahmad berkata:

"Saya ada prinsip. Anak saya nak kenduri, kalau boleh bagi kenduri selesai. Tapi jadi begini. Saya tidak ada masalah, saya boleh terima (pertukaran MB)," katanya.

Menurutnya lagi, Ahmad berkata beberapa ADUN lagi dijangka akan mengambil langkah yang sama sepertinya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut jumlah dan siapa yang terlibat untuk berbuat demikian.

"Insya-Allah ada lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

ADS