Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Pemuda Umno menyerbu dan dan mengugut untuk membakar ibu pejabat DAP sebagai satu "reaksi semula jadi" untuk "mempertahankan imej parti" itu.

"Itu reaksi secara semulajadi, apabila dicabar dan tercabar mereka tidak akan berdiam diri.

"Sikap Pemuda sentiasa tidak berdiam diri apabila tercabar," katanya sewaktu menjawab soalan wartawan hari ini.

Ditanya jika kenyataan wakil rakyat DAP, RSN Rayer, dan reaksi Umno boleh mencetuskan peristiwa seumpama 13 Mei 1969, Muhyiddin menegaskan beliau tidak fikir ia akan "pergi begitu jauh".

"Saya tak fikir begitu jauh (kemungkinan terjadi peristiwa 13 Mei).

"Itu satu langkah yang mereka ambil untuk mempertahankan imej parti," katanya.

Muhyiddin menegaskan bahawa Umno sentiasa bertindak berdasarkan undang-undang. Namun, tambahnya, tindakan Pemuda Umno itu perlu "diberikan perhatian".

"Bagi saya, yang penting kita ada peraturan, saya percaya Pemuda Umno, baik sesiapa sahaja, perlu hormati itu dan tidak melanggar peraturan," katanya.

Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dikepalai oleh ketuanya, Mohd Razlan Mohd Rafii semalam mengugut akan membakar pejabat DAP di Jalan Pudu jika ADUN DAP Seri Delima, RSN Rayer mengulangi kenyataan "Umno celaka".

Ironinya, Muhyiddin yang ditemui pemberita selepas majlis bersama penduduk Kampung Orang Asli Irong di Sungai Semak, Teluk Intan, menyifatkan Rayer sebagai seorang wakil rakyat yang biadap.

"Saya dukacita kerana sikap seorang wakil rakyat yang kurang ajar dan tidak sopan.

"Walaupun dia boleh kata apa-apa sahaja kita ini ada adab sopan dan disiplin.

"Walaupun dia benci dengan Umno dan benci kita, sejarah membuktikan Umno sudah lama berjuang," katanya.

ADS