Ketua Umno Sepang, Noorazli Said perlu membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat kepada penganut Katolik dan masyarakat Kristian susulan kenyataannya dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, tegas seorang ahli parlimen Sabah.

Ahli Parlimen Tuaran yang juga Adun Tamparuli, Wilfred Madius Tangau membidas kenyataan Noorazli itu.

"Sama ada ia dimaksudkan sebagai jenaka ataupun sindiran, kenyataan tersebut amat tidak wajar dan menyinggung perasaan.

“Kitab Suci, paderi Katolik dan biarawati tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan sebuah parti politik utama negara,” tegasnya pada hantaran di Facebook.


Wilfred berkata Noorazli (gambar atas) perlu mengakui kesilapan pertimbangannya, menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129 dan membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat.

Pemimpin Umno Selangor itu membuat jenaka berkenaan bagi menggambarkan kepentingan kebijaksanaan politik, ketika memuji kepimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut jenaka itu, seorang paderi yang memandu Proton Saga manual ternampak seorang biarawati sedang menunggu di perhentian bas lalu menawarkan untuk menghantarnya pulang.

Namun, setiap kali paderi itu menukar gear, tangannya tersentuh paha biarawati berkenaan dan terus berada di situ.

Setiap kali perkara itu berlaku, biarawati itu mengingatkan paderi berkenaan supaya mengingati Mazmur 129, menyebabkan paderi itu menarik semula tangannya.

Setibanya di rumah, Noorazli berkata paderi itu menyemak kitab Bible bagi mengetahui kandungan sebenar Mazmur 129 namun mendapati ia bukan seperti yang disangkanya.

“Tuan-tuan nak tahu apa Surah Mazmur ayat ke-129 ni cakap?” tuturnya bersahaja, “surah Mazmur ayat 129 ni dalam bahasa Inggeris dia cakap – dengan izin – go forth and seek further up and you will find glory.

“Faham ke tak faham ni? Kalau tak faham saya terjemah ke bahasa Melayu. Maksudnya: dia kata, ‘teruskan usahamu kerana semakin ke atas semakin dekatlah kamu dengan kejayaan.’

“Justeru apa yang saya nak bagitahu dari cerita ini ialahlah, we must focus (kita mesti fokus) dan kita kena tahu apa yang kita nak buat,” katanya disambut gelak ketawa perwakilan dan hadirin PAU 2026 pada Sabtu lalu.

Ayat itu, yang merupakan variasi jenaka yang kadangkala beredar dalam kalangan masyarakat Kristian, sebenarnya tidak terdapatpun dalam Mazmur 129.

Noorazli kemudian menjelaskan kisah itu bertujuan menyampaikan kepentingan untuk kekal fokus dan mengetahui apa yang mahu dicapai.

Sementara itu, anggota Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tajuddin Rasdi turut tidak bersetuju dengan kenyataan itu, menegaskan jenaka tidak seharusnya dibuat sehingga mengorbankan rasa hormat terhadap agama orang lain.

"Membuat jenaka menggunakan agama rakyat lain, bagi saya, menunjukkan tahap tidak hormat yang lebih rendah daripada mana-mana kelas yang boleh saya letakkan.

"Saya berharap pemimpin Umno yang menggunakan jenaka mengenai penganut Katolik itu memohon maaf kepada rakyat kita secara keseluruhannya.

“Jika perwakilan Umno itu tidak memahami apa ertinya menjadi rakyat Malaysia, saya bimbang parti mereka mungkin bukan yang terbaik untuk memimpin negara kita yang mempunyai kepelbagaian agama, budaya dan kaum,” katanya.