Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tetap dengan kenyataannya bahawa polis akan menempatkan anak dalam kes hak penjagaan membabitkan mahkamah syariah dan sivil, di pusat penjagaan.

"Saya tetap dengan kenyataan saya," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan bola sepak 'Interforces Games 2014' di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Singapura di Seremban hari ini.

    

Semalam, Khalid berkata polis mengambil jalan tengah dalam soal hak penjagaan anak yang membabitkan keputusan berbeza mahkamah syariah dan sivil, tanpa menguatkuasakan perintah mana-mana mahkamah.   

    

Katanya dengan menempatkan anak di pusat penjagaan, pihak yang berkenaan boleh melawat anak masing-masing.

    

Kenyataan Khalid itu dikecam beberapa pihak yang mahu polis menguatkuasakan perintah mahkamah terutama membabitkan waran tangkap.

    

Bulan lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan N Viran atau nama Islamnya Izwan Abdullah, untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memberi hak penjagaan dua anaknya kepada ibu mereka S Deepa yang beragama Hindu.

        

Di Ipoh pula, guru tadika M Indira Ghandhi mendapat perintah mahkamah pada awal tahun ini untuk mendakwa bekas suaminya Muhammad Ridzuan Abdullah atau nama sebelum Islam, K Patmanathan, kerana menghina mahkamah setelah gagal menyerahkan anak bongsu mereka, Prasana Diksa (Ummu Habibah), 6, kepada plaintif yang memenangi kes hak penjagaan anak, selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi pada 11 Mac 2010.    

        

Pada April 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak penjagaan tiga anak mereka iaitu Abu Bakar (Karan Dinish), Ummu Salamah (Tevi Darsiny) dan Prasana kepada Mohd Ridzuan.

- Bernama

ADS