TLDM selamatkan kapal tangki dirampas lanun

   

Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Terengganu menyelamatkan kapal tangki minyak MT Ai Maru yang ditawan lanun semalam di Selatan Pulau Aur, Mersing.

    

Dalam satu kenyataan malam tadi, Kementerian Pertahanan berkata kapal milik Singapura itu yang membawa 'Marine Gas Oil' telah ditawan lanun kira-kira 30 batu nautika selatan Pulau Aur kira-kira 8.30 pagi dan diselamatkan kira-kira 1.40 pagi semalam.

    

"Sebaik menerima laporan, KD Terengganu yang berpangkalan di Tanjung Gelang, Kuantan telah diarahkan untuk memintas kapal tangki itu dan kemudian mengesannya bersauh di posisi 155 Pulau Aur.

    

"Perhubungan komunikasi dengan MT Ai Maru cuba diwujudkan namun gagal," menurut kenyataan itu.

    

Ia berkata bagaimanapun lanun telah melarikan diri dengan menggunakan bot laju ke perairan antarabangsa selepas menyedari kehadiran KD Terengganu.

    

"Semua kru kapal dipercayai berada dalam keadaan selamat. Kapal kemudiannya diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan untuk siasatan lanjut," kata kenyataan itu.

    

Terdahulu Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Datuk Mohd Puzi Ab Kahar mengesahkan kapal tangki itu membawa kira-kira 700,000 liter minyak diesel yang bernilai RM1.4 juta.

    

Beliau berkata pihaknya turut menyiasat kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam termasuk anak kapal dan kaptennya dalam kejadian itu.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In