Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
FNBKL: Ops Qaseh sisih gelandangan
Diterbitkan:  Jul 3, 2014 8:59 PM
Dikemaskini: 11:49 PM

Kumpulan sukarelawan Food Not Bombs Kuala Lumpur (FNBKL) berkata operasi menangkap golongan pengemis dan warga gelandangan tidak akan membantu mengatasi masalah berkenaan.

Kumpulan itu percaya, usaha seperti menghalang pengagihan makanan percuma kepada golongan tersebut, hanya akan membantu menyisihkan lagi warga tersebut.

“Ia juga berbahaya kepada kebajikan awam kerana cuba menyembunyikan, atau mengasingkan, masalah gelandangan dari pandangan umum,” kata FNBKL dalam kenyataannya.

FNBKL menjelaskan, tindakan seperti operasi yang akan dijalankan pada minggu depan itu akan menghalang usaha memahami dan menangani masalah gelandangan secara bermasyarakat.

“Salah jika kita paksa orang yang tiada rumah atau mengemis keluar dari bandar seperti dalam Ops Qaseh.

“Ia juga salah untuk menghalang orang awam dari membantu orang yang memerlukan secara langsung. Sebagai satu masyarakat, kita hanya boleh menangani masalah gelandangan dengan bekerjasama,” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu mengulas mengenai pengumuman kerajaan untuk mengadakan operasi khas untuk menahan golongan gelandangan, dijangka akan diadakan pada minggu depan, dikenali dengan nama Ops Qaseh.

Ia turut merujuk kepada kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang mengumumkan bahawa sukarelawan yang memberi makanan percuma tidak boleh beroperasi dari jarak dua kilometeri dari Lot 10, Bukit Bintang.

Beliau mendakwa, kegiatan tersebut menyebabkan golongan gelandangan dan pengemis menjadi malas dan terus mengemis.

Beliau juga mendakwa pemberian makanan percuma itu menyebabkan kekotoran dan pembiakan tikus.

FNBKL juga berpendirian bahawa kerajaan perlu memansuhkan Akta Orang-orang Papa 1977 yang dianggap lapuk dan tidak lagi sesuai dikuatkuasa untuk menyelamatkan warga gelandangan.

Kolektif berkenaan melihat bahawa akta lapuk tersebut tidak lagi bersifat manusiawi walaupun ia pada asalnya digubal untuk menyelamatkan warga jalanan tersebut dari terus tercicir.

Ia digambarkan demikian kerana pihak berkuasa boleh menggunakan akta tersebut untuk menahan golongan dianggap papa untuk tempoh sehingga tiga tahun.

ADS