Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bulan Ramadhan yang mulia adalah sebuah bulan yang penuh maghfirah dan barakah. Bulan di mana ummat Islam di seluruh dunia diwajibkan untuk berpuasa. Pada masa yang sama, bulan Ramadhan juga merupakan masa yang terbaik untuk kita bermuhasabah dengan apa yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Saya telah terlibat di dalam satu perbincangan ‘inter-faith’ atau antara agama di Petaling Jaya beberapa beberapa bulan sebelum Ramadhan. Di antara ahli panelnya ialah seorang Sami Buddha. Ada dari kalangan hadirin yang telah bertanya kepadanya berkenaan peristiwa pembunuhan ummat Islam bangsa Rohingya di Myanmar. Mereka hairan bagaimana agama Buddha yang masyhur sebagai agama yang mencintakan keamanan boleh membenarkan tindakan kejam sebegitu rupa. Beliau menjawab dengan wajah yang suram, “apabila fahaman kebangsaan disatukan dengan agama, maka kerosakan akan terhasil”.

Membunuh dengan justifikasi agama

Jawapan mudah sebegitu dari Sami Buddha berkenaan adalah satu kebenaran yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Di dalam sejarah terdapat banyak bukti yang boleh menyokong dakwaan ini sebagai contohnya kumpulan ‘white supremacist’ atau pelampau kaum kulit putih seperti Ku Klux Klan (KKK) di Amerika yang membunuh dan memusnahkan harta milik kaum kulit hitam dengan mengetengahkan justifikasi keagamaan mereka yang kononnya bersandarkan dari agama Kristian.

Di antara simbol yang kerap dikaitkan dengan golongan KKK adalah salib terbakar yang menandakan hubung kaitnya gerakan mereka dengan agama Kristian. Begitu juga tentera Serb semasa perpecahan Yugoslavia yang membunuh dan merogol wanita Islam dan Croat tanpa perasaan bersalah malahan menganggap ianya tindakan yang adil! Mereka ini pula dikuasai semangat kebangsaan Serb yang dikaitkan juga dengan pegangan Kristian Orthodox. Paderi Orthodox sering kelihatan bersama mendoakan keberkatan untuk tentera Serb yang mengganas pada ketika itu.

Di Myanmar, sami Buddha memberi sokongan dan dukungan secara terang-terangan terhadap tindakan ganas golongan Myanmar yang menyerang dan membunuh rakyat Rohingya dengan kejam. Mereka diapikan semangat kebangsaan dan perkauman dan diberitahu bahawa orang Rohingya adalah bukan orang Myanmar dan adalah pendatang dan wajar diusir! Warna kulit mereka berbeza, sepertimana juga bahasa mereka dan agama mereka.

Fahaman kebangsaan rosakkan agama

Maka benarlah kata-kata Sami Buddha tersebut. Agama, apabila dikuasai semangat dan kefahaman kebangsaan menjadikan segala yang diajar agama, supaya manusia berakhlak tinggi, berkasih sayang dan bertindak adil, terus dilupai. Sebenarnya apa yang dikatakannya telah lama disebut Al-Quran apabila Allah mengisahkan kaum Bani Israel. Mereka satukan agama dengan bangsa dan ingin kebenaran hanya bagi kaum mereka. Menzalimi dan menindas kaum lain tidak salah, malahan adalah dianggap sesuatu yang wajar kerana kononnya mereka sahajalah yang dikasihi Allah!

Semangat kebangsaan tidak kenal batas halal dan haram. Bagi golongan nasionalis, semua yang dilakukan oleh bangsanya terhadap bangsa lain adalah betul dan perlu disokong! Walaupun ianya membawa kepada pembunuhan dan kezaliman. Agama pula digunakan mereka sekadar sebagai penawar untuk mengaburkan mata sehingga tidak disedari betapa tindakan mereka merupakan tindakan yang bercanggah dengan ajaran agama dan sebagai jampi dan pelali terhadap tindakan mereka yang dikutuk agama mereka sendiri.

Sekiranya tidak diberikan justifikasi dan sokongan golongan agama, maka tindakan mereka akan jelas kelihatan kepada diri mereka sendiri sebagai tindakan yang kejam dan dikutuk agama. Dalam keadaan itu tindakan mereka akan terhenti dan agama akan berjaya menjadi penghalang kepada berlakunya kezaliman dan kekejaman. Tetapi apabila golongan agama juga dikuasai fahaman kebangsaan, maka di mana akan terdapat pembela kemanusiaan dan semangat kasih sayang sesama manusia?

Penyakit sama yang tersebar luas di kalangan orang Myanmar sekarang dilihat menjangkit ke Sri Lanka pula. Fahaman sama, pegangan yang sama dan kezaliman yang sama. Manusia dibunuh kerana bezanya agama dan bangsanya atas sebab kebangsaan.

Adakah penyakit sama juga bakal dijangkiti orang Melayu Islam?

Seruan ala jahilliah

Adalah dianggap mustahil agama Islam akan turut diresapi fahaman perkauman atau kebangsaan sempit sepertimana agama lain. Ini adalah atas sebab penolakan yang tegas dan jelas oleh Rasulullah (SAW) berhubung fahaman assabiyah melalui beberapa hadis yang masyhur. Dan sememangnya Allah telah rancangkan supaya para sahabat Nabi sendiri terdiri dari Bilal Al-Habsyi, Syuib Al-Rumi, Salman Al-Farsi dan dari berbilang kaum dan kabilah. Dan para sahabat pula telah berurusan dengan berbilang bangsa dan kaum serta mentadbir negara di bawah pemerintahan Islam dengan penuh hormat terhadap semua bangsa.

Namun seruan ala jahiliah sememangnya akan sentiasa kedengaran, walaupun secara jelas dicerca Rasulullah (SAW). Dan itu jugalah sebabnya ianya dikutuk dengan begitu keras sekali oleh Baginda.

Rasulullah bersabda, “Laisa minnii…” - golongan yang menyeru, berperang mahupun yang mati atas landasan kebangsaan dan perkauman adalah “bukan dari aku”. Namun yang jahil di kalangan Melayu tetap tertipu.

Dengan disatukan Melayu dengan Islam maka disatukan bangsa dan agama. Maka perjuangan bangsa adalah perjuangan agama. Mempertahankan Melayu adalah mempertahankan Islam, kata mereka lagi. Dan Islam tidak salah maka tidak mungkin Melayu itu salah! Sedangkan si Melayu yang dipertahankan melakukan apa yang tidak diperintahkan Islam! Maka apakah bezanya dengan apa yang pernah dan sedang dilakukan kaum Yahudi atau Bani Israel yang dimurkai Allah?

Kebetulan pula yang Cina dan India secara amnya bukan Islam. Bangsa lain, agama lain, bahasa pun lain. Dan suasana seperti di Myanmar dan Sri Lanka dengan sendirinya ditimbulkan. Kebencian terhadap bangsa lain, agama lain disemai, kononnya atas nama Islam sedangkan Islam tidak mengajar manusia saling membenci atas sebab bangsa, bahasa mahupun agama.

Oleh itu kemunculan golongan ‘Islamis cauvinis’ merupakan sesuatu yang amat mengecewakan. Kemunculan ‘golongan berhaluan kanan’ Islam yang bersikap cauvinis dan menyemaikan kebencian terhadap kaum dan agama lain adalah bukti bahawa seruan jahiliah masih mampu berpengaruh di kalangan umat Islam. Kumpulan yang sehaluan ini mencemarkan imej Islam yang merupakan rahmat bagi seluruh alam. Adalah diharapkan daengan terserlahnya sikap cauvinis mereka, maka umat Islam akan menjauhkan diri mereka dari golongan ini dan sebaliknya menempelak mereka dengan kutukan “laisa minni” sepertimana ditempelak oleh Rasulullah (SAW).

Kumpulan sebegini hidup atas emosi dan kejahilan umat. Apabila melihat sokongan semakin merosot di kalangan bukan Islam, maka dilepaskan kumpulan haluan kanan ini sebagai ugutan kepada masyarakat bukan Melayu. Itu perkara biasa dan sudah dilakukan sejak sekian lama.

Jika usaha meraih sokongan dibuat atas nama kebangsaan Melayu sahaja, ramai dari umat Islam tidak terasa terpanggil untuk bersama. Maka bezanya sekarang, ia ditimbulkan kumpulan cauvinis Islam dalam bentuk NGO Islam yang sehaluan dengan mereka. Topeng Islam digunapakai sebagai justifikasi moral untuk mengambil sesuatu tindakan yang cauvinis dan rendah akhlak. Dan harapan mereka, lebih ramai akan terpanggil untuk bersama kerana mereka turut kibarkan panji-panji Islam.

Golongan ini tidak kisah sekiranya imej Islam tercemar, prinsip dan ajarannya menjadi kabur dan rahmatnya tidak diserlahkan, asalkan kekal memerintah. Perjuangan dan dakwah Islam sememangnya bukan agenda mereka. Oleh itu golongan cauvinis Islam dibela dan fahaman mereka disuburkan.

Wajib tentang cauvinis Islam

Bagi yang memahami Islam dan memahami juga pendekatan yang digunakan Allah dan Rasul-Nya, semestinya pendekatan golongan cauvinis Islam wajib ditolak dan ditentang. Ia bercanggah dengan pendekatan Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam dan akan mencemar imej Islam sekiranya ia dibenarkan bertapak di kalangan umat Islam. Pada masa yang sama semakin ramai umat Islam akan berjaya disesatkan atas seruan emosi cauvinis dan perkauman sehingga terjerumus dalam politik berdosa dan tidak berakhlak.

Demi membela imej Islam, kesucian ajarannya dan demi menyelamatkan umat Islam dari disesatkan olehnya, kita mesti bersuara. Islam menolak perkauman dan cauvinisme kaum. Dan Melayu hendaklah kembali kepada Islam, ajarannya dan pendekatan tersendiri serta menolak sama sekali desakan emosi dan semangat perkauman.


KHALID SAMAD adalah MP Shah Alam dari PAS.

ADS