Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'gor, pusat meterai perjanjian industri air
Diterbitkan:  Aug 1, 2014 5:36 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor hari ini menandatangani Perjanjian Dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri bekalan air dan penyelesaian jangka panjang isu air di Selangor.

   

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mewakili kerajaan persekutuan manakala kerajaan Selangor diwakili Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, lapor Bernama.

    

Turut hadir pada majlis itu beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek serta Timbalan Menteri KeTTHA Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ongkili berkata perjanjian hari ini adalah lanjutan kepada perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 26 Februari lepas berkaitan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dan Sistem Agihan.

    

"Kebanyakan kandungan MoU yang lepas itu diperincikan dalam perjanjian hari ini dan beberapa perkara penting sudah dimulakan pelaksanaannya," katanya.

Beliau berkata penstrukturan semula urusan pengambilalihan syarikat konsesi telahpun dimulakan dan kerajaan Selangor melalui kumpulan Darul Ehsan Berhad mengemukakan tawaran pengambilalihan kepada pemegang saham empat buah syarikat konsesi.

    

Empat buah syarikat konsesi itu ialah Konsortium Abbas Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).

    

"Setakat ini hanya pengambilalihan Splash sahaja yang belum dimuktamadkan lagi," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada menteri besar Selangor atas sikap keterbukaan, kesederhanaan dan kerjasama yang diberikan.

    

Kerjasama itu, kata Ongkili, membuktikan kepentingan rakyat mengatasi segalanya dan lebih penting daripada kepentingan politik.

Ongkili dan Khalid turut berkongsi kenyataan bahawa pencapaian itu terhasil susulan beberapa perbincangan antara kedua-dua pihak berasaskan kepercayaan bahawa pertimbangan politik harus diketepikan demi menyelesaikan isu bekalan air bagi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.  

    

Sementara itu, Khalid turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan dan KeTTHA yang melaksanakan peranan sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan rundingan penstrukturan semula air di Selangor.

    

"Kerjasama yang diperlihatkan kesemua pihak menunjukkan bahawa kepentingan rakyat mengatasi kepentingan dan ideologi politik.

    

"Kita percaya rakyat Selangor dan Malaysia amat menghargai usaha keras yang ditunjukkan semua pihak dalam menjayakan penstrukturan semula itu," katanya.

    

Jelas beliau penyelesaian secara holistik itu juga akan memberikan perkhidmatan air lebih cekap dengan kadar tarif yang munasabah dan tidak membebankan pengguna.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS